DUNIA > BERITA

Presiden Prabowo Sambut Tahun Baharu 2026 Bersama Mangsa Banjir Di Aceh

31/12/2025 10:24 PM

JAKARTA, 31 Dis (Bernama-ANTARA) -- Presiden Indonesia Prabowo Subianto akan menyambut kedatangan tahun 2026 pada Rabu bersama penduduk yang kehilangan tempat tinggal akibat banjir dan tanah runtuh di Aceh, menurut Ketua Pejabat Staf Presiden (KSP) Muhammad Qodari, lapor agensi berita ANTARA.

"Presiden akan melawat Aceh dan, insya-Allah, meluangkan masa pada malam ambang tahun baharu bersama rakyat di sana," kata Qodari selepas bertemu Prabowo di Istana Presiden di sini pada Selasa.

Qodari tidak mendedahkan butiran terperinci agenda Prabowo di Aceh, namun mengesahkan bahawa Daerah Bener Meriah akan menjadi antara destinasi yang dilawati.

Dalam pada itu, beliau berkata usaha pemulihan bencana di beberapa wilayah tidak akan menjejaskan pelaksanaan program keutamaan Presiden Prabowo pada 2026, biarpun kerajaan telah mengambil langkah penjimatan belanjawan.

Beliau berkata kerajaan telah memanfaatkan sumber pembiayaan lain, terutamanya daripada aktiviti penguatkuasaan undang-undang, untuk membiayai program-program keutamaan itu.

"Kami boleh menggunakan dana yang diperoleh daripada pengurusan ladang sawit, usaha antipenyeludupan serta sektor perlombongan," kata Qodari.

Menurut Qodari, langkah-langkah itu bertujuan mengekalkan kemampanan kewangan program keutamaan meskipun terdapat keperluan untuk membiayai usaha bantuan bencana.

Banjir besar dan tanah runtuh melanda Aceh, Sumatera Utara dan Sumatera Barat pada akhir November 2025 susulan hujan lebat.

Data daripada Agensi Pengurusan Bencana Kebangsaan (BNPB) menunjukkan bahawa setakat 31 Disember, angka korban akibat bencana di ketiga-tiga wilayah berkenaan telah mencecah 1,141 orang, termasuk 514 kematian di Aceh.

--BERNAMA-ANTARA 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan