DUNIA > BERITA

Liga Arab Kecam Undang-undang Israel Putuskan Bekalan Utiliti Kepada UNRWA

31/12/2025 11:43 AM

KAHERAH, 31 Dis (Bernama-Xinhua) -- Liga Arab (AL) mengecam tindakan Knesset Israel pada Selasa yang meluluskan undang-undang untuk memutuskan bekalan elektrik dan air ke pejabat Agensi Bantuan dan Kerja Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA), lapor Xinhua.

Menerusi satu kenyataan, AL menyifatkan langkah itu sebagai sebahagian daripada kempen berterusan yang menyasarkan UNRWA, selain merupakan kesinambungan kepada undang-undang terdahulu yang bertujuan mengharamkan operasi agensi itu di wilayah Palestin yang diduduki.

AL menyifatkan undang-undang berkenaan sebagai "pencabulan terang-terangan" terhadap imuniti dan keistimewaan organisasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Tindakan itu juga dianggap sebagai satu bentuk penentangan terhadap resolusi Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang mencerminkan pendapat nasihat Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) mengenai tanggungjawab Israel di wilayah yang diduduki, termasuk Baitulmuqaddis Timur.

AL memberi amaran bahawa undang-undang itu, yang berkuat kuasa serta-merta, boleh membawa "kesan malapetaka" serta menjejaskan keupayaan UNRWA untuk menyampaikan perkhidmatan asas kepada pelarian Palestin, terutamanya di Gaza, di mana agensi itu memainkan peranan utama dalam usaha pembangunan semula. 

Sehubungan itu, AL menggesa komuniti antarabangsa supaya menegakkan tanggungjawab undang-undang serta moral dan membantah langkah Israel yang menyasarkan UNRWA.

Pada Isnin, Knesset meluluskan undang-undang itu dalam bacaan akhir dengan undian 59-7, yang melarang penyediaan bekalan elektrik dan air ke semua kemudahan yang dikendalikan oleh UNRWA.

Agensi itu kini mengendalikan beratus-ratus sekolah dan pusat kesihatan di seluruh Gaza, Tebing Barat, dan Baitulmuqaddis Timur di bawah mandat PBB.

-- BERNAMA-XINHUA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan