DUNIA > BERITA

Syarikat AS Sahkan Sambung Semula Pencarian Pesawat MH370

26/12/2025 04:32 PM

MOSCOW, 26 Dis (Bernama-Sputnik/RIA Novosti) -- Firma penyelidikan Amerika Syarikat, Ocean Infinity pada Jumaat mengesahkan bahawa ia menyambung semula pencarian pesawat Malaysia Airlines Penerbangan MH370 yang hilang pada 2014, lapor Sputnik/RIA Novosti.

Dengan sokongan kerajaan Malaysia, syarikat berkenaan memulakan semula usaha mencari pesawat MH370 yang hilang, menurut seorang wakil Ocean Infinity.

Wakil itu memaklumkan bahawa memandangkan sensitiviti operasi berkenaan, semua perkembangan rasmi akan dimaklumkan oleh kerajaan Malaysia.

Sebuah kapal khusus Ocean Infinity sedang dalam perjalanan ke pantai barat Australia bagi meneruskan operasi pencarian, berdasarkan analisis data penjejakan maritim.

Kapal sepanjang 86 meter, Armada 86 05 yang berdaftar di Singapura, berlepas dari kawasan berhampiran pelabuhan Kwinana pada 23 Dis dan kini menuju ke selatan Lautan Hindi, lokasi pencarian pesawat yang hilang itu sebelum ini.

Kapal berkenaan berfungsi sebagai platform pelancaran kenderaan bawah air autonomi yang berkeupayaan memetakan dasar laut dalam.

Fasa pencarian aktif dijadual bermula pada 30 Dis.

Pada Mac lalu, pihak berkuasa Malaysia bersetuju dengan Ocean Infinity untuk melaksanakan usaha baharu bagi mengesan pesawat MH370.

Pada April, Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook memaklumkan bahawa Ocean Infinity menangguhkan pencarian susulan musim semasa yang tidak sesuai.

Pesawat Boeing 777-200 milik Malaysia Airlines yang mengendalikan penerbangan MH370 dari Kuala Lumpur ke Beijing, membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal hilang daripada radar pada awal pagi 8 Mac 2014. 

Pesawat itu dipercayai terhempas di selatan Lautan Hindi.

Bagaimanapun, operasi pencarian sebelum ini gagal menentukan lokasi sebenar nahas. 

-- BERNAMA-SPUTNIK/RIA NOVOSTI

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan