MANILA, 19 Dis (Bernama-PNA) -- Filipina berhasrat menerajui usaha mempromosikan penggunaan kecerdasan buatan (AI) secara beretika dan mampan di Asia Tenggara apabila negara itu memegang jawatan Pengerusi ASEAN tahun depan, lapor Agensi Berita Filipina (PNA).
“Di bawah kepimpinannya tahun depan, Filipina akan membantu memimpin ASEAN dalam membina komuniti yang bersedia menghadapi masa depan dan berani menerima inovasi — iaitu ketika teknologi berkhidmat untuk kemanusiaan, serta AI dimanfaatkan secara selamat, beretika, bertanggungjawab, saksama dan mampan bagi menjamin rantau yang aman, makmur dan berteraskan rakyat,” kata Timbalan Penolong Setiausaha Hal Ehwal ASEAN Kementerian Luar Filipina, Dominic Xavier Imperial pada Khamis.
Menggalakkan kemakmuran ekonomi melalui penggunaan teknologi baharu seperti AI merupakan antara bidang yang ingin diberi keutamaan oleh Filipina sepanjang tempoh penganjuran ASEAN itu.
Pada Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) ke-32 baru-baru ini di Korea Selatan, Presiden Ferdinand R. Marcos Jr. sendiri mengiktiraf peranan AI dalam membentuk ekonomi dan masyarakat.
Beliau mengakui AI sebagai satu instrumen penting yang berpotensi meningkatkan perkhidmatan awam, memperkemas perdagangan serta merangsang perusahaan mikro, kecil dan sederhana.
Pada Oktober, para pemimpin APEC termasuk Filipina menerima pakai Inisiatif AI APEC 2026–2030 dan bersetuju untuk memajukan inovasi AI di seluruh Asia Pasifik.
Mereka juga bersetuju untuk memperkukuh inisiatif pembinaan kapasiti dan menggalakkan pelaburan dalam infrastruktur AI yang berdaya tahan.
-- BERNAMA-PNA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial