DUNIA > BERITA

Kerjasama Malaysia-Singapura Terus Diperkukuh Sempena 60 Tahun Hubungan Dua Hala

19/12/2025 10:33 AM

Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz

KUALA LUMPUR, 19 Dis (Bernama) -- Hubungan dua hala Malaysia dan Singapura mencatat satu pencapaian penting tahun ini apabila kedua-dua negara jiran, yang berkongsi sejarah berabad lamanya, menyambut ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik.

Hubungan erat dan pelbagai dimensi antara Malaysia dan Singapura terus diperkukuh, didorong oleh pertukaran lawatan peringkat tinggi yang kerap, khususnya antara Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakan sejawatnya dari Singapura, Lawrence Wong, yang turut memegang jawatan menteri kewangan negara masing-masing. 

Pemukiman Pemimpin Tahunan, platform tertinggi untuk menilai hubungan dua hala, membincangkan isu serantau dan global yang berkepentingan bersama serta meneroka ruang baharu bagi memperdalam perkongsian, telah diadakan sebanyak dua kali tahun ini.

Lazimnya diadakan setahun sekali, pemukiman berkenaan berlangsung pada Januari dan Disember selepas edisi ke-11 yang dijadualkan pada Disember 2024 ditangguhkan berikutan jangkitan COVID-19 melibatkan Wong.

Pemukiman Pemimpin ke-12 yang baru berakhir dan dihoskan oleh Singapura menyaksikan pemimpin kedua-dua negara menegaskan komitmen untuk meneruskan rundingan serta penglibatan secara aman dan konstruktif bagi menyelesaikan isu-isu berpanjangan berkaitan sempadan maritim, ruang udara dan perairan.

Pada pertemuan itu, Malaysia dan Singapura turut menandatangani perjanjian tambahan bagi Projek Sistem Transit Rapid Johor Bahru-Singapura (RTS) Link untuk  kemudahan imigresen bersama menjelang sasaran permulaan perkhidmatan pada Disember 2026.

Kedua-dua pihak juga bertukar memorandum persefahaman (MoU) bagi memperkukuh kerjasama dalam bidang kesihatan dan usaha memerangi dadah, sekali gus menandakan satu lagi langkah penting dalam meningkatkan kerjasama antara dua negara.

Malaysia turut memberi lampu hijau kepada Singapura untuk membuka konsulat di Sabah dan Sarawak, yang dijangka dapat memperluas lagi hubungan perniagaan serta interaksi rakyat dengan rakyat.

Selepas kejayaan pendaftaran bersama lima negara bagi kebaya sebagai Warisan Budaya Tidak Ketara UNESCO pada 2024, Malaysia dan Singapura tahun ini mengemukakan pencalonan bersama bagi memasukkan 'Chingay' ke dalam senarai yang sama, sekali gus menyerlahkan warisan bersama dan hubungan rakyat yang bersejarah.

Dalam bidang ekonomi, Malaysia dan Singapura mencatat kemajuan memberangsangkan dalam beberapa projek utama termasuk Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), dengan syarikat berpangkalan di Singapura telah membuat komitmen pelaburan melebihi S$5.5 bilion (RM17.97 bilion) setakat Oktober.

Selain itu, perdagangan dua hala mencecah US$78.70 bilion setakat Oktober, merangkumi 13.5 peratus daripada jumlah perdagangan Malaysia.

Kedua-dua negara kekal sebagai rakan dagang kedua terbesar masing-masing pada 2024.

Momentum positif turut direkodkan dalam kerjasama sektor tenaga.

Pada Oktober, Penguasa Pasaran Tenaga Singapura (EMA) memberi kelulusan bersyarat kepada Sembcorp Utilities Pte Ltd untuk mengimport 1 gigawatt (GW) elektrik rendah karbon dari Sarawak, menandakan fasa baharu perkongsian tenaga antara kedua-dua negara.

Tenaga Nasional Bhd, SP Group dan Singapore Energy Interconnections juga memeterai Perjanjian Pembangunan Bersama bagi menjalankan kajian kebolehlaksanaan penuh untuk sambungan kuasa kedua antara Malaysia dan Singapura.

Apabila siap kelak, projek itu dijangka meningkatkan kapasiti perdagangan elektrik rentas sempadan serta memperkukuh daya tahan tenaga dengan menyediakan sokongan bersama ketika berlakunya ketidakstabilan sistem.

Sebagai dua negara pengasas ASEAN, Malaysia dan Singapura kekal komited untuk memajukan kerjasama serantau dalam pelbagai bidang utama, termasuk menyokong pelaksanaan Grid Tenaga ASEAN, memajukan ekonomi hijau serta memperkukuh usaha ke arah integrasi serantau, khususnya dalam persekitaran geopolitik yang semakin kompleks.

Sepanjang Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN 2025, Singapura secara konsisten menyatakan sokongan terhadap inisiatif serta kepimpinan Malaysia.

Dengan kerjasama yang semakin kukuh di peringkat kerajaan dan pegawai, disokong hubungan rakyat dengan rakyat yang mantap, Malaysia dan Singapura dijangka terus mencatat perkembangan positif dalam pelbagai bidang pada tahun hadapan, meskipun dunia berdepan cabaran global yang semakin meningkat akibat ketegangan geopolitik dan peningkatan dasar perlindungan perdagangan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan