Oleh Vijian Paramasivam
PHNOM PENH, 23 Nov (Bernama) -- Ribuan petani di Vietnam yang menunggu musim menuai udang karang kini berdepan kesulitan kewangan selepas hujan lebat berterusan memusnahkan sangkar ternakan mereka, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap potensi tekanan terhadap eksport makanan laut tahun ini.
Kerugian tragis itu berlaku ketika para petani bersedia untuk meraih hasil kerja keras mereka selama hampir setahun menternak udang karang menjelang musim puncak, apabila permintaan terhadap produk tersebut meningkat khususnya pada musim perayaan.
Di Song Cau Ward di Wilayah Dak Lak, yang dikenali sebagai hab udang karang Vietnam, sangkar penternakan tenggelam dalam banjir, mengakibatkan kerugian bernilai ribuan dolar, dan media tempatan telah mendedahkan isu itu selama hampir sebulan.
“Petani tempatan berkata dalam satu malam sahaja, keseluruhan sangkar hanyut atau tenggelam, menyebabkan hampir tiada apa yang dapat diselamatkan. Stok udang karang yang dijangka dituai tidak lama lagi telah musnah sepenuhnya,” lapor Vietnam News.
Lao Dong, satu daripada penerbitan berita tertua di negara itu, melaporkan bahawa banjir besar mengakibatkan 20 juta udang karang mati di Dak Lak sahaja, dan para petani kini berhadapan kekangan kewangan.
Sejak awal November, Taufan Kalmaegi, atau dikenali secara tempatan sebagai Ribut 13, telah menyebabkan kekacauan besar di negara itu. Seramai 41 maut manakala ratusan hektar tanah pertanian, akuakultur serta jutaan ternakan musnah, menurut media tempatan.
Vietnamplus melaporkan bahawa sebanyak 3,500 hektar tanaman musnah dan lebih 18,000 ayam serta 620 ternakan hilang dalam minggu lalu sahaja, dengan kerugian dianggarkan sebanyak RM158 juta (US$38 juta).
Terletak di sepanjang gelanggang taufan Pasifik, Vietnam terdedah kepada ribut kuat dan Taufan Kalmaegi merupakan ribut tropika ke-13 yang melanda negara itu tahun ini.
Banjir besar, terutamanya di kawasan tengah Vietnam dan wilayah pesisir, memberi kesan serius terhadap berjuta penduduk luar bandar serta ekonomi. Aktiviti perikanan pesisir dan pelancongan marin terhenti sepenuhnya akibat paras air yang meningkat.
Masa berlakunya bencana alam itu boleh memberi kesan buruk kepada industri makanan laut negara yang sedang berkembang pesat.
Kerajaan menetapkan sasaran tinggi untuk mencapai pendapatan eksport makanan laut sebanyak RM46 bilion (US$11 bilion) tahun ini dan mengekalkan kedudukan sebagai pengeksport makanan laut ketiga terbesar dunia.
Eksport udang kekal sebagai penyumbang utama hasil negara, mencecah RM16 bilion (US$3.9 bilion) tahun lalu, menurut Vietnam News.
Persatuan Pengeksport dan Pengeluar Makanan Laut Vietnam (VASEP) memberi amaran bahawa eksport mungkin tertekan tahun ini susulan faktor seperti “kad kuning” Kesatuan Eropah terhadap aktiviti perikanan haram, tidak dilaporkan dan tidak dikawal selia serta peraturan lebih ketat Amerika Syarikat (AS) berkaitan kebolehkesanan dan perlindungan mamalia marin di bawah Akta Perlindungan Mamalia Marin (MMPA) negara itu.
Duti AS sebanyak 20 peratus ke atas eksport Vietnam dan duti antilambakan ke atas eksport udang ke AS juga dijangka menjejaskan mata pencarian petani Vietnam.
“VASEP meramalkan eksport makanan laut pada suku keempat 2025 akan perlahan dengan ketara. Situasi eksport pada suku pertama 2026 dijangka terus merosot akibat tindak balas berantai berpunca daripada cukai dan MMPA,” lapor majalah dalam talian VNEconomy awal bulan ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial