BEIJING, 6 Nov (Bernama-CMG) -- China mementingkan hubungan dengan Iran dan bersedia berganding bahu dengan negara itu untuk melonjakkan hubungan perkongsian strategik komprehensif China-Iran ke tahap yang lebih tinggi, kata Menteri Luar China Wang Yi dalam perbualan dengan rakan sejawatnya dari Iran Abbas Araqchi menerusi panggilan telefon, pada Rabu.
Wang berkata, Presiden Xi Jinping dan rakan sejawatnya dari Iran Masoud Pezeshkian mencapai konsensus penting semasa pertemuan di Beijing pada Sept lalu, sekali gus menetapkan hala tuju bagi perkembangan hubungan kedua-dua negara pada masa akan datang.
“Tahun 2026 merupakan ulang tahun ke-55 hubungan diplomatik China-Iran.
"China bersedia berusaha bersama pihak Iran untuk melaksanakan konsensus yang dicapai pemimpin kedua-dua negara, memperkasakan kerjasama yang saling menguntungkan demi mewujudkan pembangunan dan kemakmuran bersama.
"China juga bersedia berganding bahu dengan masyarakat antarabangsa termasuk Iran, untuk mendorong pembinaan sistem tadbir urus global yang lebih adil dan rasional," kata Wang.
Araqchi pula berkata pihaknya memberi perhatian tinggi terhadap hubungan dengan China, di samping menzahirkan kesediaan untuk mengambil peluang dari ulang tahun ke-55 hubungan diplomatik kedua-dua negara untuk mengukuhkan lagi pertukaran lawatan peringkat tinggi, meneroka potensi kerjasama, serta mengukuhkan rasa saling menyokong antara kedua-dua negara.
"Iran memuji pendirian China yang mempertahankan keadilan dalam urusan antarabangsa dan berharap kedua-dua negara dapat bekerjasama rapat untuk mendorong kedamaian, kestabilan dan pembangunan serantau," kata Araqchi.
Menyentuh tentang isu nuklear Iran, Wang Yi berkata China sentiasa mempertahankan pendirian adil dan objektif dalam isu berkenaan.
Beliau menegaskan penyelesaian damai isu nuklear Iran menemui jalan buntu pada ketika ini, dan ini tidak sesuai dengan kepentingan bersama masyarakat antarabangsa.
"China memuji kenyataan Iran baru-baru ini yang mengulangi keengganan dalam membina senjata nuklear dan menyokong Iran mempunyai hak untuk menggunakan tenaga nuklear secara damai.
"China berharap pelbagai pihak berkaitan dapat mengekalkan dialog dan komunikasi supaya mendorong isu nuklear Iran kembali ke landasan dialog dan rundingan," tegas Wang.
-- BERNAMA-CMG
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial