DUNIA > BERITA

Indonesia Kerah Lebih 155,000 Anggota Untuk Latihan Kesiapsiagaan Bencana

05/11/2025 07:08 PM

Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar

JAKARTA, 5 Nov (Bernama) -- Indonesia mengerahkan seramai 155,938 anggota daripada pelbagai unit pada Rabu bagi menjalankan latihan kesiapsiagaan bencana di seluruh negara ketika negara itu bersiap menghadapi kemungkinan banjir dan tanah runtuh sepanjang musim hujan.

Ketua Polis Negara (Polri) Jeneral Listyo Sigit Prabowo mengetuai upacara utama di ibu pejabat unit separa tentera, Briged Bergerak (Brimob), di Depok, Jawa Barat, yang dihadiri 2,915 pegawai.

“Latihan ini mencerminkan komitmen Polri untuk sentiasa berada di barisan hadapan dalam melindungi dan berkhidmat kepada masyarakat ketika berdepan ancaman bencana alam,” kata Sigit.

Beliau berkata latihan itu bertujuan menguji tahap koordinasi antara agensi serta meningkatkan kesiapsiagaan bagi bertindak balas dengan pantas terhadap situasi kecemasan.

Polri turut menyediakan 125 dapur bergerak, 77 unit rawatan air dan 23 penjana air bagi menyokong operasi bantuan serta membekalkan air bersih di kawasan terjejas.

Menurut Agensi Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BMKG), kira-kira 43.8 peratus wilayah Indonesia telah memasuki musim hujan yang dijangka memuncak antara bulan ini hingga Januari tahun depan.

Corak cuaca La Nina yang lemah juga telah dikesan dan dijangka berterusan sehingga Februari 2026, sekali gus berpotensi meningkatkan intensiti hujan.

Indonesia merupakan antara negara yang paling terdedah kepada bencana di dunia, sering dilanda banjir, gempa bumi dan letusan gunung berapi disebabkan kedudukannya di Lingkaran Api Pasifik.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan