DUNIA > BERITA

Vietnam Optimis Capai Pertumbuhan Dua Digit Ketika “Doi Moi” Memasuki Fasa Baharu

03/11/2025 05:11 PM

Oleh Voon Miaw Ping

mengolah headline

 

KUALA LUMPUR, 3 Nov (Bernama) -- Vietnam optimis mencapai pertumbuhan ekonomi 10 peratus tahun depan dipacu oleh kestabilan makroekonomi yang mantap dan dasar-dasar yang berkesan dalam mempercepatkan pertumbuhan serta pengembangan jangka panjang.

Timbalan Menteri Luar Vietnam Dang Hoang Giang berkata prospek positif itu turut disokong oleh jangkaan kadar pertumbuhan lapan peratus tahun ini, sekali gus menyediakan asas yang kukuh untuk negara itu mencapai sasarannya.

“Ini sememangnya sasaran yang bercita-cita tinggi di tengah-tengah persekitaran global yang menghadapi pertumbuhan perlahan dan pelbagai cabaran.

“Namun, kami melihatnya sebagai peluang bagi Vietnam untuk memperbaharui penetapan minda, pendekatan dan model pertumbuhannya dengan berani, dengan sains, teknologi, inovasi serta transformasi digital sebagai pemacu utama pembangunan,” katanya dalam temu bual bertulis dengan Bernama sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47.

Perdana Menteri Vietnam Pham Minh Chinh baru-baru ini mengesahkan semula sasaran negara itu untuk mencapai pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sekurang-kurangnya 10 peratus pada 2026.

Tahun depan juga menandakan tahun ke-40 pelaksanaan dasar pembaharuan ekonomi Doi Moi - yang telah mengubah Vietnam daripada ekonomi berpendapatan rendah kepada antara pasaran paling pesat berkembang dan dinamik di Asia.

Daripada sebuah ekonomi kurang membangun, Vietnam kini muncul sebagai ekonomi ke-32 terbesar di dunia dan keempat terbesar di ASEAN, dengan anggaran KDNK sekitar US$510 bilion pada 2025 serta pendapatan per kapita kira-kira US$5,000 yang secara rasmi meletakkannya dalam kumpulan berpendapatan pertengahan atas.

Giang berkata bagi mencapai sasaran itu dan merealisasikan matlamat menjadi negara maju menjelang 2045, kerajaan sedang melaksanakan pelbagai langkah strategik.

Langkah-langkah itu termasuk memacu kemajuan dalam bidang sains, teknologi, inovasi dan transformasi digital; membangunkan sektor swasta sebagai “pemacu terpenting” ekonomi negara; menyusun semula dan memperkemas dasar serta sistem pentadbiran dan pendidikan; serta menggalakkan integrasi antarabangsa di semua peringkat bagi membuka ruang baharu kepada pembangunan negara.

“Kami juga sedang giat membuat persiapan bagi Kongres Parti Kebangsaan ke-14 (pada Januari 2026) yang akan meluluskan keputusan dasar penting merangkumi sektor utama ekonomi.

“Reformasi menyeluruh dan berimpak besar ini akan menyediakan asas bagi Vietnam meneruskan kisah kejayaannya dan memulakan fasa pembangunan strategik seterusnya,” tambahnya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan