DUNIA > BERITA

Operasi Bantuan Gaza Masih Alami Kekangan Walau Ada Gencatan Senjata - Jurucakap PBB

31/10/2025 10:14 PM

WASHINGTON, 31 Okt (Bernama-WAFA) -- Operasi kemanusiaan di Gaza masih mengalami kekangan meskipun gencatan senjata berterusan, dengan Israel meneruskan kawalan sempadan dan infrastruktur yang rosak di Semenanjung Gaza, lapor Agensi Berita dan Penerangan Palestin (WAFA), memetik jurucakap Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Farhan Haq.

"Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) menyatakan yang peningkatan operasi kemanusiaan berterusan di bawah gencatan senjata, tetapi masih dihadkan oleh sekatan yang berterusan dan halangan lain," katanya dalam satu taklimat media.

Haq berkata, menurut OCHA, konvoi bantuan menghadapi arahan lencongan berulang kali daripada Israel selama tiga hari berturut-turut, memaksa mereka menggunakan Koridor Philadelphi di sepanjang sempadan dengan Mesir sebelum bergerak ke utara melalui Jalan Pesisir yang sempit dan amat sesak.

"Jalan ini sempit, rosak dan sangat sesak. Pergerakan kekal perlahan, walaupun selepas Program Makanan Sedunia membaiki jalan itu. Laluan lintasan tambahan dan laluan dalaman diperlukan untuk meluaskan pengumpulan dan tindak balas," katanya.

Beralih ke Tebing Barat yang diduduki, beliau menyatakan yang Ramiz Alakbarov, Timbalan Penyelaras Khas dan Penyelaras Kemanusiaan untuk Wilayah Palestin yang Diduduki mengadakan lawatan lapangan ke kawasan Ramallah untuk menjelaskan cabaran yang dihadapi oleh petani semasa musim tuaian zaitun.

"Setakat bulan ini, 126 serangan peneroka berkaitan dengan tuaian zaitun menyebabkan kecederaan atau kerosakan di 70 kampung," kata Haq, memetik data OCHA setakat Isnin.

Beliau berkata petani diserang, tanaman dan peralatan mereka dicuri dan lebih daripada 4,000 pokok zaitun dirosakkan, menyebabkan sekurang-kurangnya 124 rakyat Palestin cedera.

--BERNAMA-WAFA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan