HANOI, 25 Okt (Bernama-VNA) -- Majlis menandatangani serta persidangan peringkat tinggi Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Menentang Jenayah Siber, atau dikenali sebagai Konvensyen Hanoi berlangsung di Pusat Konvensyen Negara bertemakan “Countering Cybercrime – Sharing Responsibility – Securing Our Future.”
Presiden Vietnam, Luong Cuong mempengerusikan majlis itu yang turut dihadiri Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres serta wakil kanan daripada kira-kira 110 negara, agensi PBB, pertubuhan serantau, institusi kewangan, pakar keselamatan siber dan undang-undang antarabangsa, lapor Agensi Berita Vietnam (VNA).
Cuong dan Guterres dijadual menyampaikan ucapan pembukaan sebelum wakil daripada 60 negara mengambil bahagian dalam majlis menandatangani konvensyen yang dikendalikan oleh Pejabat Hal Ehwal Perundangan PBB.
Konvensyen yang digagaskan oleh PBB pada 2019, dibangunkan bagi memenuhi keperluan mendesak untuk mewujudkan rangka kerja undang-undang global dalam menangani cabaran keselamatan siber, keselamatan bukan tradisional, perubahan iklim dan pembangunan mampan.
Selepas lima tahun rundingan, Perhimpunan Agung PBB (UNGA) menerima pakai konvensyen itu secara konsensus pada 24 Dis 2024.
Mengandungi sembilan bab dan 71 artikel, Konvensyen Hanoi menyediakan rangka kerja menyeluruh bagi mencegah dan memerangi jenayah siber sambil menegakkan prinsip hak asasi manusia.
Ia juga bertujuan memperkukuh kerjasama antarabangsa dan menyesuaikan instrumen undang-undang dengan keperluan era digital.
-- BERNAMA-VNA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial