FRANKFURT, 22 Okt (Bernama-dpa) -- Adidas pada Selasa meningkatkan ramalan keuntungan untuk 2025 susulan jualan suku ketiga yang lebih kukuh daripada jangkaan, menurut laporan Agensi Berita Jerman (dpa).
Firma pakaian sukan Jerman itu kini menjangkakan keuntungan operasi sekitar €2 bilion (US$2.3 bilion), meningkat daripada ramalan awal antara €1.7 bilion (US$1.9 bilion) hingga €1.8 bilion (US$2.1 bilion).
Adidas menyatakan peningkatan jualan yang lebih baik daripada jangkaan dan kejayaan langkahnya dalam mengimbangi kos tambahan akibat pengenaan tarif Amerika Syarikat.
Hasil suku ketiga meningkat lapan peratus mengikut kadar pertukaran mata wang kepada lebih €6.6 bilion (US$7.7 bilion). Jualan jenama teras Adidas meningkat 12 peratus.
“Saya amat bangga dengan apa yang dicapai oleh pasukan kami pada suku ketiga,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Bjorn Gulden dalam satu kenyataan, menyifatkan hasil dan jualan itu sebagai "tertinggi yang pernah dicapai sebagai sebuah syarikat dalam satu suku tahun."
Keuntungan operasi meningkat daripada €598 juta (US$694 juta) kepada €736 juta (US$855 juta).
Adidas merancang untuk mengeluarkan keputusan suku tahunan penuh pada 29 Oktober.
Untuk keseluruhan tahun, syarikat kini menjangkakan pertumbuhan hasil yang diselaraskan dengan mata wang iaitu sebanyak sembilan peratus, meningkat daripada jangkaan awal kenaikan digit tunggal.
--BERNAMA-XINHUA
TAG: Adidas, kukuh, jualan, suku ketiga, unjuran, keuntungan tinggi
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial