WASHINGTON, 21 Okt (Bernama-Xinhua) -- Rumah Putih memulakan kerja-kerja merobohkan sebahagian daripada Sayap Timur bagi membina sebuah dewan besar atas permintaan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump, lapor Xinhua memetik media tempatan pada Isnin.
“Saya dengan sukacitanya mengumumkan bahawa kerja pembinaan Dewan Besar Rumah Putih yang baharu, besar dan indah telah dimulakan,” kata Trump dalam kenyataan di platform media sosialnya, Truth Social, sambil menambah bahawa projek itu dibiayai sepenuhnya oleh pihak swasta.
“Selama lebih 150 tahun, setiap presiden mempunyai impian untuk memiliki sebuah dewan besar di Rumah Putih bagi majlis rasmi, jamuan negara dan acara besar lain. Saya berbesar hati menjadi presiden pertama yang akhirnya merealisasikan projek yang amat diperlukan ini,” katanya.
Trump sebelum ini menegaskan bahawa kerja pembinaan itu tidak akan “mengganggu” struktur asal bangunan sedia ada. Kos keseluruhan projek dianggarkan berjumlah US$250 juta.
Namun, projek berkenaan mencetuskan kritikan hebat daripada parti Demokrat.
Gabenor California Gavin Newsom berkata di platform X bahawa keutamaan Trump kini termasuk “meratakan Rumah Putih” daripada menumpukan kepada usaha membuka semula kerajaan.
Menurut Rumah Putih, Sayap Timur yang dibina pada 1902 telah melalui pelbagai proses pengubahsuaian termasuk penambahan tingkat kedua pada 1942.
-- BERNAMA-XINHUA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial