SEOUL, 21 Okt (Bernama-Yonhap) -- Korea Selatan dan Malaysia pada Selasa menandatangani perjanjian untuk saling mengiktiraf pensijilan kelayakan terbang atau "airworthiness certification" bagi pesawat tentera masing-masing, menurut agensi perolehan pertahanan negara itu, lapor Agensi Berita Yonhap.
Perjanjian itu merupakan yang pertama seumpamanya antara Korea Selatan dengan negara Asia.
Di bawah perjanjian itu, kedua-dua pihak akan mengiktiraf pensijilan kelayakan terbang pesawat tentera buatan tempatan masing-masing, menurut Pentadbiran Program Perolehan Pertahanan (DAPA).
Pensijilan itu merupakan ukuran penting bagi menentukan kesesuaian sesuatu pesawat untuk penerbangan selamat.
Korea Selatan akan melaksanakan pensijilan bagi 18 pesawat pejuang ringan FA-50 yang akan dibekalkan kepada Malaysia, menurut agensi itu lagi.
“Menerusi perjanjian pengiktirafan bersama ini, kami menjangkakan eksport pesawat buatan tempatan ke negara-negara Asia dapat diperluas, selain memperkukuh kemajuan industri penerbangan domestik melalui kerjasama industri pertahanan,” kata Menteri DAPA Seok Jong-gun.
DAPA memaklumkan bahawa agensi itu bercadang menandatangani lebih banyak perjanjian seumpama ini dengan negara-negara di Eropah, Asia serta Amerika Tengah dan Selatan.
Dengan termeterainya perjanjian terbaharu ini, Korea Selatan kini mempunyai lapan perjanjian pengiktirafan bersama, termasuk dengan Amerika Syarikat, Poland dan Sepanyol.
-- BERNAMA-YONHAP
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial