DUNIA > BERITA

Jepun Perkukuh Langkah Kawal Populasi Beruang Susulan Rekod Kematian

17/10/2025 09:05 PM

TOKYO, 17 Okt (Bernama) -- Jepun akan mengambil langkah lebih tegas bagi mengawal populasi beruang di negara itu, kata Menteri Alam Sekitar Keiichiro Asao pada Jumaat susulan peningkatan jumlah kematian penduduk akibat serangan haiwan itu, lapor Kyodo News.

Jepun menetapkan beruang sebagai spesies untuk kawalan populasi pada April 2024, namun insiden penampakan dan serangan haiwan itu terus meningkat dengan tujuh kematian dilaporkan dalam tahun fiskal semasa yang bermula pada April.

“Kami akan memperkukuh langkah-langkah kawalan populasi beruang berdasarkan data saintifik,” kata Asao pada sidang media.

Beliau turut menggesa orang ramai supaya mematuhi amaran dan maklumat tempatan mengenai penampakan beruang yang dikeluarkan oleh majlis perbandaran.

Di Wilayah Iwate, timur laut Jepun, seorang lelaki berusia 60 tahun dilaporkan hilang pada Khamis selepas dipercayai diserang beruang, dengan kesan darah dan bulu haiwan ditemui di sekitar kolam mandi di luar sebuah penginapan gaya Jepun yang sedang dibersihkannya.

Beruang juga dilaporkan muncul di kawasan pelancongan. Pada awal Oktober, seorang pelancong lelaki warga Sepanyol cedera ringan di bahagian lengan selepas diserang seekor anak beruang di perkampungan pergunungan Shirakawa, tengah Jepun.

Pada September, Jepun melonggarkan peraturan berkaitan pembunuhan beruang yang menceroboh kawasan berpenduduk, membenarkan pihak berkuasa tempatan meluluskan “tembakan kecemasan.”

Bandar Sendai di Wilayah Miyagi, timur laut negara itu, menjadi pihak berkuasa tempatan pertama menembak seekor beruang di bawah peraturan baharu itu awal minggu ini.

-- BERNAMA-KYODO


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan