DUNIA > BERITA

Malaysia Sokong Pelan Damai Gaza Secara Bersyarat, Berdasarkan Prinsip Perjuangan Palestin – Mohamad Hasan

14/10/2025 02:53 PM

KUALA LUMPUR, 14 Okt (Bernama) -- Malaysia tidak dijemput menyertai sidang kemuncak pelan damai Gaza di Sharm El-Sheikh, Mesir kerana pendiriannya yang menyokong pelan itu secara bersyarat, kata Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau menjelaskan bahawa Malaysia dilihat sebagai negara yang menyokong secara bersyarat apabila memberi sokongan dengan menyertakan penjelasan undi (explanation of vote) dalam Deklarasi New York pada Julai lepas, dan bukan secara membuta tuli.

“Kita menyokong (perjanjian perdamaian) tetapi dengan penerangan terhadap sokongan kita, bukan secara membuta tuli.

“By explanation of vote, itu pegangan kita terhadap perjuangan Palestin,” katanya kepada pemberita semasa sesi sidang media Kelab Concorde di sini pada Selasa.

Mengulas lanjut mengenai sokongan bersyarat Malaysia, Mohamad berkata perjuangan terhadap rakyat Palestin adalah untuk memastikan penubuhan sebuah negara yang merdeka, kepulangan rakyat Palestin ke tanah air mereka, penetapan sempadan negara berdasarkan sempadan yang diwujudkan sebelum 1967 serta menjadikan Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu negara.

Sesi Kelab Concorde itu dipengerusikan oleh Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) Datuk Seri Wong Chun Wai. Turut hadir Ketua Pengarang BERNAMA Arul Rajoo Durar Raj.

Kelab Concorde merupakan kumpulan tidak rasmi yang menghimpunkan pengarang kanan daripada agensi media tempatan dan antarabangsa.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Selasa berkata Malaysia menyokong pelan damai Amerika Syarikat kerana setiap usaha ke arah perdamaian penting bagi menghentikan pembunuhan dan kemusnahan di Gaza.

Menurut laporan Anadolu Ajansi, lebih 20 pemimpin dunia menghadiri Sidang Kemuncak Pelan Damai Gaza yang dipengerusikan bersama oleh Presiden Mesir Abdel Fattah al-Sisi serta Presiden Amerika Syarikat Donald Trump bagi menamatkan peperangan di Semenanjung Gaza.

Fasa pertama perjanjian gencatan senjata Gaza mula berkuat kuasa pada Jumaat lalu di bawah pelan 20 perkara Trump bagi menamatkan perang dua tahun Israel di wilayah berkenaan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan