KUALA LUMPUR, 13 Okt (Bernama) -- Malaysia berharap gencatan senjata di Gaza akan berkekalan serta membuka jalan ke arah penubuhan negara Palestin.
Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata Malaysia menyokong sepenuhnya sebarang usaha yang dapat menamatkan keganasan dan penderitaan rakyat Palestin, khususnya di Semenanjung Gaza.
“Alhamdulillah kita gembira kerana Hamas bersetuju menerima 20 perkara yang telah diutarakan oleh Presiden Amerika Syarikat Donald Trump walaupun tidak semua (syarat) dapat memuaskan hati tetapi ia merupakan tingkap yang terakhir untuk menghentikan pembunuhan kejam terhadap rakyat Palestin.
“Kita gembira apabila Hamas menerimanya. Ini merupakan langkah pertama. Kita berharap supaya gencatan senjata ini akan berkekalan dan kita berdoa agar negara Palestin yang merdeka dapat ditubuhkan,” katanya kepada pemberita pada Isnin.
Sebelum itu, Mohamad mengiringi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadiri taklimat dan tinjauan mesra persediaan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
Mohamad berkara gencatan senjata itu diharap dapat membuka laluan agar bantuan kemanusian dapat masuk terus ke Gaza melalui pembukaan lintasan sempadan Rafah dan Jambatan Raja Hussein di Jordan.
Trump pada Rabu mengumumkan bahawa Israel dan Hamas telah bersetuju dengan fasa pertama pelan gencatan senjatanya untuk Gaza.
Pada 29 Sept, beliau mengumumkan pelan gencatan senjata 20 perkara untuk Gaza yang merangkumi pembebasan semua tawanan Israel sebagai pertukaran dengan kira-kira 2,000 tahanan Palestin, gencatan senjata kekal, dan pengunduran tentera Israel secara berperingkat dari seluruh wilayah itu.
Fasa kedua pelan itu menggesa penubuhan sebuah mekanisme pentadbiran baharu di Gaza.
Pada Isnin, regim Israel telah membebaskan 88 tahanan Palestin yang menjalani hukuman penjara seumur hidup daripada Penjara Tentera Ofer, terletak di barat Ramallah, sebagai sebahagian daripada pelaksanaan fasa pertama perjanjian gencatan senjata, menurut laporan Agensi Berita dan Penerangan Palestin (WAFA).
Dalam masa yang sama, sekitar 1,718 tahanan dari Gaza yang ditahan selepas perang bermula pada 7 Okt, 2023 juga akan dibebaskan.
Rejim itu mengenakan sekatan ke atas Gaza yang dihuni hampir 2.4 juta penduduk sejak hampir 18 tahun lepas.
Sekatan itu diperketatkan pada Mac apabila rejim menutup lintasan sempadan dan menyekat penghantaran makanan serta ubat-ubatan sekali gus membawa kepada krisis kebuluran.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial