DUNIA > BERITA

Presiden Mesir, AS Pengerusi Bersama Sidang Kemuncak Keamanan Antarabangsa Di Sharm El-Sheikh

12/10/2025 01:11 PM

ISTANBUL, 12 Okt (Bernama-Anadolu) -- Mesir akan menjadi tuan rumah kepada sidang kemuncak keamanan antarabangsa di bandar peranginan Laut Merah, Sharm el-Sheikh pada Isnin, dan akan dipengerusikan bersama oleh Presiden Abdel Fattah al-Sisi dan rakan sejawatnya dari Amerika Syarikat, Donald Trump, lapor Anadolu Ajansi(AA).

Menurut kenyataan Pejabat Presiden Mesir, sidang kemuncak itu akan menghimpunkan para pemimpin dari lebih 20 negara.

Sidang kemuncak itu bertujuan “menamatkan perang di Semenanjung Gaza, memperkukuh usaha ke arah keamanan dan kestabilan di Asia Barat, serta membuka lembaran baharu bagi keselamatan dan kestabilan serantau,” menurut kenyataan itu.

Ia turut dinyatakan bahawa sidang ini “berlangsung sejajar dengan visi Presiden Amerika Syarikat Donald Trump bagi mencapai keamanan di rantau berkenaan dan usaha berterusan beliau untuk menamatkan konflik di seluruh dunia.”

Trump pada Rabu mengumumkan bahawa Israel dan Hamas bersetuju melaksanakan fasa pertama daripada pelan 20 perkara yang dibentangkannya pada 29 Sept bagi mencapai gencatan senjata di Gaza, membebaskan semua tawanan Israel yang ditahan di wilayah itu dengan pertukaran kira-kira 2,000 tahanan Palestin, serta pengunduran berperingkat tentera Israel dari seluruh Semenanjung Gaza.

Fasa pertama perjanjian mula berkuat kuasa pada Jumaat pukul 12 tengah hari waktu tempatan (0900 GMT).

Sementara itu, fasa kedua pelan berkenaan merangkumi pembentukan mekanisme pentadbiran baharu di Gaza tanpa penyertaan Hamas, penubuhan pasukan keselamatan yang terdiri daripada rakyat Palestin serta anggota tentera negara Arab dan Islam, dan perlucutan senjata kumpulan Hamas.

Sejak Oktober 2023, serangan Israel mengorbankan lebih 67,600 rakyat Palestin di wilayah berkenaan,  sekali gus menjadikan Gaza tidak lagi sesuai didiami.

-- BERNAMA-ANADOLU


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan