KUALA LUMPUR, 7 Okt (Bernama) -- United Kingdom (UK) dengan kerjasama Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) Malaysia melancarkan beberapa inisiatif baharu bagi memperkukuh daya tahan negara terhadap kesan perubahan iklim.
Inisiatif yang dilancarkan oleh Menteri UK bagi Indo-Pasifik, Seema Malhotra pada Isnin itu termasuk penggunaan instrumen kewangan inovatif untuk menarik pelaburan hijau baharu daripada sektor perniagaan dan institusi kewangan bagi projek berkaitan iklim.
Beliau berkata projek bersama ini akan melaksanakan penyelesaian praktikal berasaskan komuniti yang dapat memperkukuh keupayaan Malaysia menangani kesan iklim seperti banjir dan tekanan haba.
“UK dan Malaysia mempunyai sejarah panjang dalam kerjasama berkaitan iklim dan alam sekitar. Hari ini, kami melangkah lebih jauh dalam memperkukuh perkongsian iklim ini,” katanya pada majlis pelancaran itu, menurut kenyataan Suruhanjaya Tinggi British di sini pada Selasa.
Selain itu, UK juga akan bekerjasama dengan Universiti Monash Malaysia dalam projek yang menyokong kepimpinan tempatan di Selangor bagi membuat keputusan bermaklumat berkaitan penggunaan air, tenaga dan makanan.
Projek itu akan menggunakan model ekonomi untuk menilai bagaimana pembangunan dalam satu sektor seperti kuasa hidro boleh memberi kesan terhadap sektor lain termasuk pertanian dan tanah lembap.
Wakil UNDP Malaysia dan Universiti Monash Malaysia turut menghadiri majlis untuk bertukar-tukar perjanjian geran dan membentangkan pelan projek masing-masing.
Majlis itu menandakan satu lagi pencapaian penting dalam kerjasama iklim antara UK dan Malaysia menjelang COP30, di mana Malaysia dijangka memainkan peranan utama dalam membentuk hala tuju iklim serantau, menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial