Oleh Vijian Paramasivam
PHNOM PENH, 4 Okt (Bernama) -- Golongan wanita muda di Kemboja kini mengubah landskap industri kopi tempatan dengan mewujudkan peluang kerjaya baharu serta menonjolkan bakat keusahawanan yang mencabar norma tradisional.
Ribuan wanita Generasi Z memulakan perniagaan kios kopi bergerak atau bekerja sebagai barista di sekitar Phnom Penh, didorong semangat keusahawanan dan keinginan keluar daripada rutin kerja membosankan.
Kios bergerak yang berkos rendah kini menjadi laluan kepada kebebasan kewangan dan mobiliti kerjaya.
Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif jenama tempatan Alarm Clock Coffee, Vy Chandra Rainsey berkata trend ini menandakan kemunculan tenaga kerja muda yang membentuk kerjaya baharu.
Beliau sendiri memulakan perniagaan dengan troli mudah alih pada 2017 bersama dua rakan dan kini mengendalikan sembilan cawangan, dengan hampir 70 peratus kakitangannya adalah wanita muda.
Generasi Z bukan sekadar penyedia kopi, tetapi juga pencetus naratif tentang aspirasi generasi belia Kemboja.
Negara itu mempunyai kelebihan demografi apabila 60 peratus daripada 17 juta penduduk berusia bawah 30 tahun, hampir separuh daripadanya wanita.
Sekitar 61 peratus perusahaan mikro, kecil dan sederhana di negara itu dimiliki wanita, manakala kadar penyertaan tenaga kerja wanita mencapai 78.9 peratus pada 2023 — tertinggi dalam ASEAN.
Di Phnom Penh, kios kopi bergerak tumbuh pesat di pusat beli-belah, pasar, universiti dan kawasan perumahan.
Kos operasi yang rendah, kemudahan pembayaran digital dan troli bergerak moden yang lebih mampu milik mendorong perkembangan pantas sektor ini.
“Lebih ramai remaja minum kopi walaupun tengah malam. Ia sudah jadi gaya hidup dan budaya baharu. Permintaan tinggi, bekalan pun banyak, tetapi keuntungan tidak begitu besar.
"Generasi muda memasuki pasaran ini dengan model baharu, tanpa perlu jenama besar,” kata Rainsey.
Kios kopi kecil kini bersaing senyap dengan rangkaian kafe terkenal, sama ada tempatan atau antarabangsa dalam merebut pasaran yang semakin berkembang.
Malah, ia membuka peluang pekerjaan kepada lepasan sekolah menengah sambil mereka menyambung pengajian pada waktu malam.
Di wilayah pergunungan Mondulkiri dan Ratanakiri, para petani menghasilkan biji kopi Robusta yang popular untuk pasaran.
Sementara itu, di Phnom Penh, anak muda Generasi Z bersemangat menyediakan "cappuccino, mocha, latte dan espresso" untuk pelanggan setempat, meskipun berdepan cabaran musim tengkujuh yang lebat.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial