ISTANBUL, 3 Okt (Bernama-Anadolu) -- Puluhan ribu rakyat Itali turun ke jalan raya pada Jumaat menyertai mogok umum anjuran kesatuan sekerja CGIL bersama kesatuan akar umbi, sekali gus mengganggu operasi pelabuhan, perkhidmatan kereta api dan lebuh raya sebagai tanda solidariti terhadap Global Sumud Flotilla dan rakyat Gaza.
Menurut laporan Anadolu Ajansi memetik agensi berita Itali, Rai, CGIL mendakwa 100,000 orang menyertai protes di Milan, walaupun polis menganggarkan jumlahnya lebih 50,000.
Para penunjuk perasaan memenuhi Piazza Leonardo Da Vinci sambil mengibarkan bendera Palestin dan melaungkan slogan “Free Palestine.”
Di Genoa, kira-kira 40,000 orang berarak dari terminal feri ke pusat bandar, manakala sekurang-kurangnya 10,000 berhimpun di Brescia.
Ribuan lagi bertindak menyekat plaza tol lebuh raya A4 di Vicenza. Di Venice, perarakan turut memutuskan akses ke pusat bersejarah bandar itu.
Di Rom, penunjuk perasaan berarak dari Piazza Vittorio ke stesen Termini dengan membawa kain rentang bertulis “Stop the genocide, we are all Global Sumud Flotilla.”
Stesen utama ibu negara Itali itu melaporkan pembatalan serta kelewatan perjalanan sehingga 80 minit.
Sementara itu, pelabuhan Livorno dan Salerno turut lumpuh akibat sekatan.
-- BERNAMA-ANADOLU
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial