KUALA LUMPUR, 3 Okt (Bernama) -- Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu Malaysia (UNAM) menyuarakan kebimbangan serius serta kekecewaan terhadap tindakan memintas Flotila Global Sumud (GSF) yang dalam misi menyampaikan bantuan kemanusiaan penting kepada penduduk Palestin.
Presidennya Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata penduduk Palestin, khususnya di Gaza, telah menanggung penderitaan dahsyat termasuk penafian hak, kebuluran dan keganasan hampir dua tahun, manakala misi flotila itu adalah usaha aman, tanpa kekerasan serta berperikemanusiaan untuk menyalurkan bantuan tepat pada masanya.
“Adalah membanggakan apabila sukarelawan Malaysia turut terlibat dalam inisiatif global ini. Malangnya, pihak yang menentang misi ini bertindak sewenang-wenangnya dengan kejam dan tidak berperikemanusiaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata Majlis Tadbir UNAM menggesa masyarakat antarabangsa supaya mengambil segala langkah perlu bagi memastikan kejayaan projek GSF yang mendapat sokongan padu di seluruh dunia.
“Kegagalan bertindak segera untuk memastikan penghantaran bekalan penting kepada penduduk Palestin hanya akan terus melanjutkan keadaan genting serta malapetaka yang sedang berlaku di sana,” katanya.
Misi GSF yang disertai lebih 500 aktivis dari 44 negara termasuk Malaysia, belayar menuju Gaza sebagai simbol solidariti dan usaha memecahkan sekatan Israel dengan membawa bekalan penting untuk penduduk Palestin yang terjejas akibat serangan berterusan rejim Zionis.
Flotila itu membawa bekalan makanan dan perubatan penting, sambil menyampaikan mesej aman yang menuntut pengakhiran perang dan kebuluran serta pembukaan segera laluan kemanusiaan ke Gaza.
Misi kemanusiaan ini telah menarik perhatian dunia, dengan penyertaan tokoh antarabangsa seperti aktivis iklim Greta Thunberg, pelakon Hollywood Susan Sarandon, dan cucu Nelson Mandela Mandla Mandela.
Kementerian Luar sebelum ini mengesahkan bahawa kesemua 23 rakyat Malaysia yang menyertai GSF telah ditahan Israel dan akan dihantar pulang melalui negara ketiga.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial