DUNIA > BERITA

Lebih 60 Terbunuh Akibat Gempa 6.9 Magnitud Landa Pulau Cebu, Filipina

01/10/2025 10:57 PM

MANILA, 1 Okt (Bernama-Kyodo) -- Angka korban akibat gempa bumi berukuran 6.9 magnitud yang melanda perairan berhampiran pulau Cebu di tengah Filipina meningkat kepada 69 orang dengan 147 lagi cedera, menurut pegawai kerajaan Filipina pada Rabu, lapor Kyodo News.

Menurut Institut Vulkanologi dan Seismologi Filipina, gempa itu berlaku pada 9.59 malam Selasa di perairan 19 kilometer timur laut Bogo di utara pulau berkenaan.

Sekitar 1,000 penduduk dipindahkan, kebanyakannya enggan pulang ke rumah kerana bimbang gegaran susulan, menurut seorang pegawai Pejabat Pertahanan Awam kerajaan.

Jumlah korban dijangka terus meningkat memandangkan operasi menyelamat masih diteruskan dan lebih banyak laporan kerosakan diterima.

Pasukan penyelamat terus menyusuri runtuhan struktur yang roboh. Di pekan San Remigio, sebahagian gimnasium runtuh ketika perlawanan bola keranjang sedang berlangsung.

Pihak berkuasa tempatan turut berkongsi gambar dalam talian menunjukkan kerosakan gereja, termasuk Gereja Archdiocesan Shrine of Santa Rosa de Lima, mercu tanda bersejarah di Daanbantayan, utara Bogo, selain jalan raya dan bangunan. Gangguan bekalan elektrik juga dilaporkan di banyak kawasan.

Lapangan Terbang Antarabangsa Mactan-Cebu, pintu masuk utama ke Cebu yang merupakan destinasi pelancongan utama di Filipina, masih beroperasi walaupun berlaku gangguan sementara susulan gempa tersebut.

-- BERNAMA-KYODO


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan