KIGALI (Rwanda), 1 Okt (Bernama-Anadolu) -- Mahkamah Tinggi Tentera Republik Demokratik Congo pada Selasa menjatuhkan hukuman mati terhadap bekas Presiden Joseph Kabila selepas mendapati beliau bersalah atas tuduhan khianat dan jenayah perang, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Penghakiman dibacakan secara in absentia (tanpa kehadiran tertuduh).
Menurut keputusan mahkamah, Kabila didapati bersalah atas beberapa pertuduhan termasuk penglibatan dalam gerakan pemberontakan, khianat, penyeksaan dan jenayah perang.
Perbicaraan ke atasnya bermula Julai lalu selepas Senat menarik balik kekebalan Parlimen yang dinikmati beliau pada Mei.
Kabila didakwa terlibat dengan kekejaman yang dikaitkan dengan kumpulan pemberontak M23 di wilayah timur Congo.
Mahkamah turut mendedahkan bahawa di bandar raya Goma dan Bukavu, Kabila mengadakan mesyuarat bagi mengatur serangan serta meninjau pusat latihan kumpulan itu.
Kabila, yang memerintah Republik Demokratik Congo dari 2001 hingga 2019, kini dilaporkan menetap di Afrika Selatan sejak 2023.
Bagaimanapun, awal tahun ini beliau membuat kemunculan awam di timur Congo dan menyatakan hasrat untuk kembali ke tanah air bagi “menyumbang mencari penyelesaian” kepada krisis yang sedang berlarutan.
Sejak Januari lalu, situasi keselamatan semakin meruncing dengan pertempuran baharu tercetus antara tentera kerajaan dan kumpulan pemberontak M23 yang menguasai beberapa kawasan strategik termasuk Goma dan Bukavu.
Meskipun perjanjian gencatan senjata yang dikenali sebagai Declaration of Principles ditandatangani di Doha pada Julai antara kerajaan Congo dan gabungan pemberontak termasuk M23 (AFC/M23), usaha damai masih rapuh dengan pertempuran berterusan di wilayah timur negara itu.
-- BERNAMA-ANADOLU
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial