DUNIA > BERITA

Malaysia, Thailand Perkukuh Kerjasama KKP Demi Kesejahteraan Pekerja

28/09/2025 08:35 PM

Oleh Kenny Teng

BANGKOK, 28 Sept (Bernama) -- Malaysia dan Thailand bersetuju memperkukuh kerjasama strategik dalam bidang keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) melalui perkongsian modul latihan, hasil penyelidikan, kepakaran dan kemudahan makmal bagi menjamin kesejahteraan pekerja di kedua-dua negara.

Pengarah Eksekutif NIOSH, Datuk Ayop Salleh berkata kerjasama antara Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) dan Institut KKP Thailand (T-OSH) merupakan titik permulaan ke arah kerjasama lebih menyeluruh dalam kalangan negara serantau di bawah  kepengerusian ASEAN-Malaysia.

Beliau yang mengetuai lawatan kerja ke Ibu Pejabat T-OSH pada Jumaat (26 Sept) berkata pertemuan itu  amat memberangsangkan apabila kedua-dua pihak bersetuju melaksanakan promosi aktiviti berkaitan KKP secara bersama melalui pameran dan persidangan di dalam dan luar negara.

“NIOSH dan T-OSH juga akan bekerjasama meningkatkan keupayaan makmal dan kepakaran masing-masing bagi memastikan penyelidikan berkaitan KKP memenuhi kehendak industri serta mampu menawarkan penyelesaian praktikal terhadap cabaran baharu,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Dalam lawatan itu, delegasi NIOSH turut mengadakan perbincangan dengan Pengarah Eksekutif T-OSH, Dr. Nantachai Panyasurarit; Timbalan Pengarah (Akademik), Profesor Madya Buncha Srithanauthaikorn; Timbalan Pengarah (Pentadbiran), Dr. Sasadis Choochon; serta Penyelidik Profesional T-OSH, Dr. Thanawan Ritthichai.

Ayop berkata T-OSH juga akan menghantar pasukan untuk meninjau secara dekat pelbagai kemudahan di Ibu Pejabat NIOSH di Bandar Baru Bangi, termasuk 13 makmal KKP bertaraf antarabangsa.

“Lawatan balas ini akan menjadi penanda aras untuk program seumpamanya dalam kalangan negara ASEAN, selaras dengan hasrat Kerajaan MADANI melalui Kementerian Sumber Manusia untuk meningkatkan tahap KKP di rantau ini,” katanya.

Ayop menjelaskan bahawa semasa Sidang Kemuncak Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan ASEAN 2025 anjuran NIOSH di Kuala Lumpur awal bulan lepas, delegasi dari negara ASEAN turut melawat beberapa makmal NIOSH dan menyaksikan perasmian Pejabat Perhubungan Institut Penyelidikan KKP Asia (AOSHRI) di Ibu Pejabat NIOSH.

Ayop menegaskan, kerjasama yang dijalin antara organisasi KKP serantau melalui kerangka ASEAN dan AOSHRI diyakini dapat mempercepatkan pelaksanaan inisiatif meningkatkan tahap keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan di tempat kerja, setanding dengan negara maju.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan