DUNIA > BERITA

Sidang Media Berhubung Status Global Sumud Flotilla Diadakan Setiap Hari - Sani Araby

28/09/2025 07:06 PM

SEPANG, 28 Sept (Bernama) -- Pusat Gerakan Sumud Nusantara (SNCC) akan mengadakan sidang media harian pada 4 petang sebaik misi Global Samud Flotilla (GSF) memasuki zon kuning.

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim berkata langkah itu penting bagi menyampaikan maklumat terkini berhubung status misi berkenaan, selain memastikan naratif yang disampaikan jelas dan tepat serta mampu menepis sebarang unsur propaganda.

“Terutamanya ketika misi sudah memasuki zon berisiko tinggi iaitu kira-kira 300 batu nautika dari perairan Gaza. Ini bagi memastikan naratif yang disampaikan kekal tepat. Jika ada khabar angin atau laporan yang belum disahkan, kami akan perjelaskan. 

“Jika ada elemen propaganda, kami dapat tepis lebih awal supaya tidak timbul panik atau ketakutan,” katanya ketika ditemui di SNCC di sini hari ini.

Beliau berkata antara langkah persediaan yang diambil peserta GSF ketika melalui zon berisiko termasuk pengaktifan siaran langsung rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di semua kapal sekiranya berlaku gangguan atau provokasi.

“Ia akan memastikan seluruh dunia menyaksikan kejadian secara masa nyata. Israel tidak boleh menafikan tanggungjawab. Jika mereka memilih konfrontasi, mereka berisiko menjadikan seluruh dunia sebagai musuh dan itu bukanlah langkah yang bijak,” katanya.

Beliau berkata misi GSF adalah membawa hati dan suara masyarakat antarabangsa selain membangkitkan kesedaran serta dorongan untuk dunia bertindak terhadap situasi di Gaza.

Sani Araby turut menyifatkan misi berkenaan sebagai kemungkinan usaha terakhir untuk menyampaikan bantuan kemanusiaan secara langsung kepada rakyat Gaza memandangkan wilayah itu semakin mengecil akibat pencerobohan rejim Israel.

“Banyak orang berasakan seolah-olah harapan sudah hilang. Namun, ketika Gaza seakan-akan lenyap, dunia bangkit dengan cara yang tidak pernah dijangkakan. 

“Ini adalah kemenangan rakyat berjiwa nurani di seluruh dunia yang menyokong Gaza dan Palestin… insya-Allah, kami berharap bukan sekadar gencatan senjata sementara, tetapi penghentian perang secara total,” katanya.

Pelayaran GSF yang membawa bekalan makanan, ubat-ubatan serta mesej keamanan dijadualkan tiba di perairan Gaza menjelang akhir bulan ini membabitkan peserta terdiri daripada sukarelawan antarabangsa dari Eropah, Asia, Afrika Selatan, Amerika Latin dan Timur Tengah.

Sebanyak 34 sukarelawan Malaysia menyertai misi berkenaan di bawah panji Sumud Nusantara dan diketuai Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan