DUNIA > BERITA

Itali Lancar Kempen “eTomAato”, Perkenal Tomato Premium Eropah Ke Malaysia

24/09/2025 03:08 PM

KUALA LUMPUR, 24 Sept (Bernama) -- Rakyat Malaysia bakal menikmati keenakan tomato premium Eropah apabila Itali, disokong Kesatuan Eropah (EU) melancarkan kempen baharu bagi mempamerkan kualiti serta kepelbagaian produk tomato dalam tin dari negara itu.

Kempen “eTomAato: European Tomato, A Red Passion” yang dilancarkan Kedutaan Itali di Kuala Lumpur dan Agensi Perdagangan Itali (ITA) dengan kerjasama OI Pomodoro da Industria Bacino Centro Sud Italia, bertujuan memberi peluang kepada pengguna serta kulinari profesional Malaysia merasai keunikan warisan tomato Eropah yang berusia berabad lamanya.

Pesuruhjaya Perdagangan ITA, Dr Angela Donvito berkata kempen itu membekalkan chef, pengusaha makanan dan pengguna Malaysia dengan produk yang memenuhi piawaian antarabangsa tertinggi, sekali gus memberi inspirasi kepada inovasi kulinari.

“Kempen ini melambangkan komitmen kami terhadap kerjasama jangka panjang yang memberi manfaat kepada industri makanan kedua-dua rantau,” katanya pada sidang media di sini, Rabu.

Turut hadir, Setiausaha Kedua Kedutaan Itali di Kuala Lumpur, Francesco Pezzarossi.

Donvito menegaskan bahawa “eTomAato” dirangka untuk melengkapi, bukannya bersaing dengan sektor pertanian Malaysia.

Beliau berkata kempen itu memperkenalkan produk tomato premium yang mampan, menyokong inovasi kulinari dan berpotensi meningkatkan daya saing Malaysia di pasaran serantau serta global.

“Dalam tempoh dua tahun akan datang, ‘eTomAato’ akan menganjurkan seminar untuk pemain industri, sesi merasa di kedai untuk pengguna, serta kerjasama dengan chef terkemuka dan pengusaha perkhidmatan makanan.

“Matlamatnya adalah untuk memperlihatkan kepelbagaian penggunaan tomato Eropah dalam masakan Malaysia dan antarabangsa.

“Selain mempromosikan jualan, inisiatif itu turut menyokong matlamat industri makanan Malaysia dengan menggalakkan keselamatan makanan, kelestarian dan perkongsian ilmu.

“Teknik pemprosesan dan pengawetan Eropah menawarkan kelebihan untuk iklim tropika, manakala pelbagai variasi produk tomato memberikan chef Malaysia pilihan baharu untuk mempertingkatkan hidangan mereka,” katanya.

Sementara itu, Pezzarossi berkata antara Januari hingga Mei 2025, Itali mengeksport produk tomato yang diproses bernilai €1.17 bilion (RM5.7 bilion) ke seluruh dunia.

“Bagi tempoh sama, Malaysia mengimport €8.58 juta (RM45.2 juta), dengan €1.8 juta (RM11.8 juta) daripadanya berasal dari Itali, menjadikan negara itu pembekal kedua terbesar tomato dalam tin ke pasaran Malaysia,” katanya.

“eTomAato” mewakili lebih 70 pengeluar tomato Itali dan berhasrat menjadikan tomato Eropah sebagai pilihan premium dalam sektor makanan dan minuman Malaysia yang semakin berkembang.

Kempen itu juga akan memperkenalkan pengguna Malaysia kepada citarasa asli Mediterranean, di samping menonjolkan piawaian keselamatan, kebolehkesanan dan amalan kelestarian yang lebih tinggi dalam pengeluaran tomato Eropah.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan