DUNIA > BERITA

Peng Liyuan Bawa Isteri Pemimpin Asing Menyusuri Sungai Haihe

02/09/2025 01:54 PM

TIANJIN, 2 Sept (Bernama-CMG) -- Peng Liyuan, isteri kepada Presiden China Xi Jinping menghoskan lawatan budaya khas buat isteri-isteri pemimpin asing pada petang Isnin sempena Sidang Kemuncak Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO) 2025 di Tianjin.

Rombongan itu dibawa menyusuri Sungai Haihe dengan menaiki kapal persiaran.

Peng menyambut kedatangan mereka dengan mesra, berjabat tangan dengan setiap seorang sebelum sesi bergambar berkumpulan.

Para tetamu turut disajikan persembahan kanak-kanak tempatan yang menyanyikan lagu “Menunggu Anda di Tianjin” sambil mengibarkan bendera pelbagai negara.

Sepanjang pelayaran di Sungai Haihe, rombongan itu diberi penerangan mengenai sejarah serta pembangunan pesat Tianjin.

Peng menyifatkan Tianjin sebagai sebuah bandar raya yang menggabungkan kemodenan dan warisan sejarah, selain menegaskan Sungai Haihe menjadi saksi pembangunan bandar itu dan pertukaran pelbagai budaya.

Para tetamu pula menzahirkan penghargaan terhadap budaya tradisional China yang kaya, sambil memuji pencapaian ketara dan signifikan yang dicapai dalam usaha memajukan modenisasi ala China.

Para tetamu yang menyertai lawatan itu termasuk isteri Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail, isteri Presiden Uzbekistan Ziroatkhon Mirziyoyeva, isteri Presiden Mongolia Luvsandorj Bolortsetseg, isteri Presiden Azerbaijan Mehriban Arif gizi Aliyeva, isteri Presiden Turkiye Emine Erdogan dan isteri Perdana Menteri Armenia Anna Hakobyan.

-- BERNAMA-CMG


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan