DUNIA > BERITA

Hubungan Malaysia-China Kini Lebih Dinamik Berbanding Sebelum Ini - Anwar

01/09/2025 05:31 PM

Daripada Voon Miaw Ping

TIANJIN (China), 1 Sept (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata hubungan lama terjalin antara Malaysia dan China yang berakar pada kepercayaan serta saling menghormati kini menjadi semakin kukuh dan dinamik.

“Separuh abad berlalu, keyakinan itu telah berkembang menjadi budaya saling percaya - teguh, kadangkala senyap, namun sentiasa nyata.

“Apa yang memberikan hubungan ini kekuatan adalah kepastian bahawa walaupun dalam masa yang tidak menentu, kedua-dua negara tetap percaya antara satu sama lain. Dan dalam saat gelora, keteguhan inilah yang paling bermakna,” katanya dalam syarahan awam di Universiti Tianjin di sini, pada Isnin.

Syarahan bertajuk “Kesalingbergantungan Berdaulat: Membina Masa Depan Bersama di Asia” itu dihadiri 500 orang termasuk mahasiswa dan ahli akademik universiti berkenaan.

Anwar berkata tiga pertemuannya dengan Presiden China Xi Jinping setakat ini, termasuk lawatan negara Xi ke Kuala Lumpur pada April lepas, adalah kesinambungan perjalanan panjang hubungan itu.

“Setiap pertemuan membawa pemahaman bahawa kedua-dua negara, meskipun berbeza dari segi saiz tetapi setara dari segi penghormatan, boleh berbicara dengan terus terang dan bertindak dengan konsisten.

“Keyakinan itu telah menjadikan kerjasama praktikal bukan sahaja boleh dilakukan, malah kukuh dan dinamik,” katanya.

Beliau berkata perkara itu dapat dilihat pada pembangunan infrastruktur berkualiti tinggi yang mempercepatkan hubungan dagangan, kerjasama semakin berkembang dalam tenaga hijau dan ekonomi digital, serta langkah-langkah kecil tetapi bermakna yang memberi kesan kepada kehidupan harian, seperti pengenalan pengecualian visa perjalanan bersama.

China kekal sebagai rakan dagang terbesar Malaysia selama 16 tahun sejak 2009.

Jumlah dagangan antara kedua-dua negara bernilai RM484.12 bilion pada 2024, mewakili 16.8 peratus daripada jumlah dagangan global Malaysia (RM2.879 trilion).

Perdana Menteri berada di sini untuk menghadiri Sidang Kemuncak Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO) 2025, dan beliau dijemput oleh China selaku Pengerusi semasa untuk menyampaikan ucapan di Sidang Kemuncak SCO Plus pada petang ini.

Kehadiran Anwar di sidang itu, walaupun Malaysia bukan negara pemerhati atau rakan dialog SCO, mencerminkan hubungan rapat dan keyakinan strategik antara Kuala Lumpur dan Beijing.

Lawatan kerja empat hari ke China itu turut merangkumi Beijing, dan beliau dijadual mengadakan kunjungan hormat ke atas Xi di Dewan Besar Rakyat sebelum mesyuarat dua hala dengan rakan sejawatnya Li Qiang, esok.

Li juga akan menjadi hos pada majlis makan malam meraikan Anwar di Rumah Tamu Negara Diaoyutai.

Pada Rabu, Anwar turut dijadual menghadiri Perbarisan Hari Kemenangan bagi memperingati 80 tahun tamatnya Perang Dunia Kedua di Dataran Tiananmen, Beijing.

Lawatan ini merupakan yang keempat oleh Anwar ke China sejak beliau memegang jawatan pada November 2022, sekali gus mencerminkan hubungan dua hala kukuh yang dinikmati kedua-dua negara sejak hubungan diplomatik terjalin pada 31 Mei 1974.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan