Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar
JAKARTA, 1 Sept (Bernama) -- Anggota tentera dan polis dikerah melakukan rondaan di seluruh negara sejak Ahad bagi memelihara ketenteraman awam ekoran kebimbangan orang ramai berhubung laporan rusuhan dan penjarahan di beberapa kawasan panas di Indonesia.
Timbalan Ketua Polis Negara Dedi Prasetyo berkata anggota polis di setiap wilayah dan daerah diarah melaksanakan rondaan berskala besar bersama pihak tentera sehingga ke peringkat kejiranan.
“Tujuannya jelas: menjamin keselamatan masyarakat daripada perusuh dan anasir anarkis.
"Kami hadir untuk melindungi setiap nyawa, harta benda dan kemudahan awam,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Langkah itu diambil selepas beberapa insiden kerosakan pada bangunan legislatif, premis polis dan kemudahan awam, selain kediaman ahli parlimen dan menteri yang turut menjadi sasaran.
Dedi berkata tahap keselamatan premis polis akan dipertingkatkan bagi mengelakkan pencerobohan serta melindungi keluarga, tahanan dan bahan berbahaya di dalamnya.
Masyarakat juga diminta bekerjasama menjaga kawasan masing-masing dengan melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan, sekali gus membantu memutuskan rantaian jenayah serta mewujudkan suasana selamat.
Mengulas liputan meluas di pelbagai platform media termasuk media sosial, beliau menasihati orang ramai supaya kekal tenang dan tidak terpengaruh dengan hasutan atau berita palsu yang boleh mencetuskan panik.
Beliau turut memberi jaminan pasukan keselamatan akan bertindak “profesional, bertimbang rasa dan mengikut prosedur undang-undang serta tetap menjunjung tinggi hak asasi manusia.”
“Dengan rondaan berkala, pendekatan persuasif dan sokongan penuh masyarakat, kami yakin keadaan akan segera kembali normal,” tegasnya.
Tinjauan di Kuningan, Jakarta Selatan yang menempatkan pusat perniagaan, kediaman serta beberapa kompleks kedutaan pada malam Ahad, mendapati aktiviti masyarakat berjalan seperti biasa dengan aliran trafik lancar, di samping banyak kenderaan polis membuat rondaan.
Keadaan trafik di Jakarta pada pagi Isnin juga terkawal selepas pemerintah wilayah menasihatkan agar pejabat melaksanakan kerja dari rumah, manakala institusi pendidikan beralih kepada pembelajaran jarak jauh.
Pusat Pengurusan Trafik Polis Metro Jaya melaporkan beberapa laluan utama termasuk Lebuhraya Dalam Kota di Interchange Cawang berada dalam keadaan terkawal pada 8.49 pagi waktu tempatan.
Sejak Isnin lepas, ibu kota Indonesia dan beberapa bandar utama mengalami siri demonstrasi apabila pelbagai lapisan masyarakat turun ke jalan menyuarakan tuntutan politik dan ekonomi.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial