DUNIA > BERITA

Aceh Bersiap Sedia Lancar Laluan Feri Baharu Ke Pulau Pinang

23/08/2025 08:07 PM

Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar

JAKARTA, 23 Ogos (Bernama) -- Wilayah Aceh di Indonesia bakal melancarkan laluan terus feri baharu dari Pelabuhan Krueng Geukueh di Muara Satu ke Pulau Pinang, Malaysia - langkah yang dijangka dapat merancakkan perdagangan, pelancongan dan hubungan ekonomi rentas sempadan.

Gabenor Aceh Muzakir Manaf yang lebih dikenali sebagai Mualem, berkata persiapan sedang dijalankan di pelabuhan itu menjelang pelancaran yang dirancang.

"Masih ada beberapa perkara yang perlu kita tambah baik bagi menjadikannya lebih selesa dan sesuai digunakan," katanya selepas meninjau jeti dan terminal penumpang pada Jumaat, menurut kenyataan Sekretariat Wilayah Aceh.

Sebelum ini, Mualem telah mengumumkan rancangan untuk membuka laluan itu pada akhir Julai atau awal bulan ini, namun tiada tarikh pelancaran rasmi yang disahkan.

Perkhidmatan feri itu bertujuan untuk mengukuhkan kesalinghubungan rentas sempadan dan menyokong eksport komoditi utama Aceh, termasuk kopi Arabika Gayo, tuna, minyak nilam, cengkih dan pinang.

Timbalan Pengurus Cawangan Operasi dan Kejuruteraan PT Pelindo SPMT Lhokseumawe milik kerajaan, Taufik Rahmat Nasution berkata syarikat itu sedang menaik taraf kemudahan dan menyelaraskan operasi bagi menyokong laluan baharu itu.

Beliau menyatakan jeti sedia ada mampu menampung kapal sehingga 3,000 tanan kasar, dengan kedalaman air antara sembilan hingga 13 meter pada paras air surut perbani.

"Bagi terminal penumpang, kami sudah bersedia dan akan berkoordinasi dengan pihak Kastam, Imigresen, Kuarantin serta agensi lain untuk menyokong aktiviti penumpang," tambahnya.

Mualem dan pegawai pelabuhan menzahirkan keyakinan bahawa laluan feri baharu itu akan membuka peluang baharu bagi ekonomi Aceh dan meningkatkan kerjasama dengan Malaysia.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan