DUNIA > BERITA

Kadar Tarif Baharu AS Dijangka Ubah Ekonomi Indochina, Myanmar dan Laos Paling Terjejas

01/08/2025 06:52 PM

Oleh Vijian Paramasivam

PHNOM PENH, 1 Ogos (Bernama) -- Struktur tarif baharu yang diumumkan Amerika Syarikat dijangka merombak landskap ekonomi Asia Tenggara, memberikan sedikit kelegaan kepada Vietnam dan Kemboja namun mencetuskan cabaran besar kepada Myanmar dan Laos yang sedang bergelut.

Menerusi Perintah Eksekutif terbaharu bertajuk “Further Modifying the Reciprocal Tariff Rates”, Washington mengurangkan tarif ke atas eksport Kemboja kepada 19 peratus berbanding kadar asal 36 peratus — satu kelegaan sederhana buat Phnom Penh yang kini sedang berusaha memulihkan keyakinan pelabur dan menstabilkan negara susulan gencatan senjata dengan Thailand pada 28 Julai lalu.

Ahli ekonomi politik Kemboja, Dr Darin Duch berkata bahawa walaupun berdepan ketidaktentuan global, masih banyak kilang beroperasi di Kemboja, menunjukkan tahap keyakinan pelabur yang kekal stabil.

“Dalam persaingan serantau dengan negara-negara jiran turut menghasilkan pakaian, barangan perjalanan dan basikal, negara ini kekal kompetitif sebagai pusat pembuatan dan sumber yang berdaya tahan serta menjimatkan kos,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata tenaga kerja muda dan murah, kemudahan logistik dan infrastruktur yang lebih baik serta persekitaran perdagangan yang kondusif turut membantu daya saing Kemboja ketika pengeluar global mencari rantaian bekalan yang stabil dan efisien.

Namun, dasar tarif “Liberation Day” oleh Presiden AS Donald Trump dijangka menekan ekonomi Myanmar dan Laos yang kini dikenakan tarif setinggi 40 peratus — tertinggi dalam kalangan negara ASEAN.

Vietnam, yang muncul sebagai kuasa ekonomi baharu ASEAN, hanya dikenakan tarif eksport sebanyak 20 peratus, jauh lebih rendah berbanding 46 peratus sebelum ini.

Myanmar yang terjejas akibat ketidakstabilan politik serta bencana alam seperti taufan dan gempa bumi dijangka terus bergelut menyelesaikan masalah ekonominya.

Bank Dunia meramalkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Myanmar akan menguncup sebanyak 2.5 peratus tahun ini selepas gempa bumi yang melanda negara itu pada Mac lalu merosakkan rantaian bekalan, kawasan pertanian, kilang dan mata pencarian.

“Tarif tinggi terhadap Myanmar dan Laos berkemungkinan mengurangkan daya saing eksport mereka, menjadikan kos pengeluaran lebih mahal dan kurang menarik kepada pembeli global.

“Ia juga mungkin menyebabkan pelaburan dan pengeluaran beralih ke negara yang lebih mesra perdagangan dengan kadar tarif lebih rendah atau iklim perniagaan yang lebih kondusif,” kata Darin.

Myanmar, yang telah dikenakan sekatan oleh Amerika Syarikat sejak rampasan kuasa tentera pada 1 Feb 2021, kebanyakannya mengeksport tekstil dan barangan pengguna ke pasaran AS.

Jumlah eksport Myanmar ke Amerika Syarikat pada 2024 hanya mencecah RM2.8 bilion (US$657 juta), namun pasaran AS kekal penting bagi negara itu.

Myanmar kini dalam persiapan untuk mengadakan pilihan raya umum pada Disember tahun ini.

Sementara itu, Laos yang tidak mempunyai laluan ke laut, mengeksport produk pertanian terutamanya kopi Lao serta tekstil dan barangan pembuatan ringan ke pasaran Amerika Syarikat.

Nilai eksport Laos ke AS pada 2024 berjumlah RM3.4 bilion (US$803 juta).

Seperti Myanmar, Laos juga sering terjejas akibat bencana alam. 

Taufan Wipha melanda negara itu minggu ini, memusnahkan lebih 2,000 kediaman dan kawasan pertanian di beberapa wilayah.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan