DUNIA > BERITA

‘Belajar Bahasa Sukar, Tetapi Seronok!’ - Duta Korea Selatan Yeo

01/08/2025 06:24 PM

KUALA LUMPUR, 1 Ogos (Bernama) -- “Belajar bahasa memang sangat sukar, tetapi seronok!” — demikian mesej penuh semangat yang disampaikan oleh Duta Besar Korea Selatan ke Malaysia, Yeo Seung-bae semasa majlis penutup Kursus Bahasa Korea anjuran bersama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Pusat Pengurusan Lapangan Terbang (AMC) di sini, Khamis.

“... kesungguhan anda (mempelajari) Bahasa Korea sangat mengagumkan,” kata Yeo, sambil merakamkan penghargaan beliau kepada 21 pegawai yang menunjukkan komitmen tinggi untuk mempelajari bahasa itu.

Kursus disediakan oleh Pusat Pendidikan Korea bagi membantu pegawai JIM dan AMC memahami Korea dengan lebih baik serta menggalakkan pertukaran yang lebih erat antara kedua-dua negara.

Yeo turut berkongsi bahawa beliau sendiri sedang mempelajari Bahasa Melayu bagi membolehkan beliau berkomunikasi dengan lebih baik dan menjalin hubungan mesra dengan rakyat Malaysia.

“Tetapi bila saya belajar satu perkataan baharu, esoknya lupa dua perkataan pula. Atau mungkin otak saya perlu rehat. Belajar bahasa memang sangat sukar, tetapi seronok!” katanya sambil cuba bertutur dalam Bahasa Melayu di hadapan para hadirin.

Meskipun mengakui cabaran dalam pembelajaran bahasa, Yeo percaya bahawa mempelajari Bahasa Korea adalah satu pengalaman yang berbaloi kerana ia membolehkan seseorang berinteraksi dengan penutur asli dan memahami budaya Korea secara lebih mendalam, memandangkan bahasa merupakan komponen penting dalam sesuatu budaya.

Beliau turut menekankan kepentingan majlis itu yang berlangsung ketika hubungan Korea Selatan dan Malaysia memasuki fasa baharu, selepas pelantikan pentadbiran baharu di Korea yang disusuli panggilan telefon rasmi antara pemimpin tertinggi kedua-dua negara dan lawatan khas oleh utusan presiden Korea baru-baru ini.

“Dengan komitmen kerajaan baharu untuk memperkukuh hubungan dua hala, jumlah pelancong Korea ke Malaysia dijangka terus meningkat.

“Anda adalah individu pertama yang mereka temui sebaik tiba di Malaysia. Anda adalah wajah negara, dan tanggapan pertama yang anda berikan akan membentuk persepsi mereka terhadap Malaysia,” katanya.

Berkongsi pengalaman sebagai diplomat, Yeo berkata beliau telah mengunjungi banyak negara, namun masih berasa gementar setiap kali berhadapan dengan kaunter imigresen kerana bimbang sekiranya berlaku sebarang masalah.

“Saya percaya pelancong Korea di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) juga merasai perkara yang sama.

“Dalam saat-saat sebegitu, sambutlah mereka dengan senyuman mesra dan ucapkan ‘Annyeonghaseyo’ yang bermaksud ‘Salam Sejahtera’, serta ‘Gamsahamnida’ yang bermaksud ‘Terima kasih’, seperti yang telah anda pelajari dalam kursus ini,” katanya.

Menurut beliau, sapaan sedemikian pasti membuatkan pelancong Korea berasa lega dan benar-benar merasakan bahawa mereka telah tiba di Malaysia, negara Truly Asia.

“Saya percaya ini juga akan mendorong lebih ramai rakyat Korea untuk datang mengunjungi Malaysia.”

Mengulas hubungan erat antara kedua-dua negara, Yeo memaklumkan bahawa sekitar 300,000 rakyat Malaysia telah melancong ke Korea Selatan tahun lalu, menjadikan Malaysia negara ke-11 tertinggi dalam kalangan pelawat antarabangsa ke negara itu.

“Manakala sekitar 470,000 rakyat Korea telah mengunjungi Malaysia, menjadikan Malaysia destinasi ke-10 paling popular dalam kalangan pelancong Korea,” katanya.

Beliau turut menyatakan bahawa walaupun kursus Bahasa Korea selama 10 minggu yang bermula pada akhir April itu agak singkat, ia tetap menjadi permulaan yang baik ke arah memperkukuh persahabatan dan persefahaman antara kedua-dua negara.

Majlis itu turut dihadiri oleh Pengarah Bahagian Pekerja Asing JIM, Ayub Abd Rahman dan Timbalan Komander AMC, Mohamad Nurzaini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan