Oleh Vijian Paramasivam
PHNOM PENH, 29 Julai (Bernama) -- Rundingan gencatan senjata yang baru berakhir antara Kemboja dan Thailand di Malaysia, yang berjaya menghentikan sementara konflik sempadan antara kedua-dua negara jiran itu, mendapat liputan meluas mediadi rantau itu.
Di Indochina, di mana isu sempadan kekal sensitif, pengumuman gencatan senjata sementara itu menjadi tajuk utama media selepas Perdana Menteri Kemboja Hun Manet dan Pemangku Perdana Menteri Thailand Phumtham Wechayachai mencapai persetujuan untuk menamatkan konfrontasi ketenteraan.
Akhbar harian berbahasa Inggeris yang berpangkalan di Phnom Penh, seperti Khmer Times dan The Phnom Penh Post (kini sebuah portal dalam talian), memberikan liputan meluas terhadap gencatan senjata yang dicapai di Putrajaya pada Isnin.
"Midnight ceasefire in place: Manet thanks all parties, looks forward to return to normalcy", lapor The Post, manakala Khmer Times pula meletakkan tajuk utama “Ceasefire Breakthrough”.
Akhbar harian berbahasa Khmer, Kampuchea Thmey Daily turut memberi liputan utama terhadap isu itu yang menjadi berita hangat negara selepas konflik ketenteraan bermula pada 24 Julai.
Di Vietnam, Timbalan Perdana Menteri Bui Thanh Son menyambut baik perjanjian gencatan senjata Kemboja-Thailand, dengan menyatakan ia adalah langkah penting dalam meredakan ketegangan, seperti yang dilaporkan oleh portal berita dalam talian VNExpress.
Gencatan senjata itu berlaku pada hari Vietnam memperingati ulang tahun ke-30 penyertaannya dalam ASEAN.
Di Myanmar yang masih dilanda konflik, akhbar milik kerajaan The Global New Light of Myanmar memaparkan tajuk utama di halaman antarabangsa: “Thailand, Cambodia agree on ceasefire, says Malaysian PM”.
Sementara itu di Laos, liputan mengenai isu berkenaan adalah terhad, meskipun negara itu berkongsi sempadan dengan Kemboja dan Thailand di kawasan sensitif yang dikenali sebagai - Emerald Triangle.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial