DUNIA > BERITA

Kemboja, Thailand Hargai Peranan Anwar, Malaysia Dalam Gencatan Senjata Serta-Merta

28/07/2025 11:12 PM

Oleh Amanina Mohamad Yusof & Linda Khoo

PUTRAJAYA, 28 Julai (Bernama) -- Kemboja dan Thailand menyatakan penghargaan mendalam kepada Malaysia atas ketegasan dalam memainkan peranannya bagi memastikan pelaksanaan gencatan senjata serta-merta antara kedua-dua negara yang berkonflik sejak Khamis lepas.

Perdana Menteri Kemboja Hun Manet menyifatkan mesyuarat khas yang dianjurkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang juga Pengerusi ASEAN, sebagai “amat penting dan tepat pada masanya”, serta memuji inisiatif beliau dalam mengantara pelaksanaan gencatan senjata serta-merta antara Kemboja dan Thailand.

“Hari ini kita bermesyuarat dengan baik dan membuahkan hasil yang sangat positif, dan kita berharap ia akan menghentikan serta-merta pertempuran yang telah mengorbankan banyak nyawa, mencederakan ramai penduduk dan menyebabkan pemindahan besar-besaran.

Kami berharap penyelesaian yang diumumkan Perdana Menteri Anwar akan menjadi asas bagi perbincangan dua hala untuk memulihkan hubungan seperti sediakala dan sebagai asas kepada pengurangan ketegangan melibatkan ketenteraan pada masa depan,” katanya selepas menghadiri mesyuarat khas pada Isnin bersama Pemangku Perdana Menteri Thailand Phumtham Wechayachai.

Dalam masa sama, Hun Manet dan Phumtham turut merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada peranan Kerajaan Amerika Syarikat (AS) dan China dalam mesyuarat penting ini serta sokongan mereka terhadap keamanan.

Turut hadir pada mesyuarat yang berlangsung di Kompleks Seri Perdana, di sini  ialah Duta AS ke Malaysia Edgard Kagan dan Duta China ke Malaysia Ouyang Yujing.

Menteri Luar Malaysia Datuk Seri Mohamad Hasan turut hadir pada mesyuarat khas itu.

AS bertindak sebagai penganjur bersama mesyuarat itu manakala China hadir sebagai pemerhati.

Hun Manet berkata, krisis di sempadan telah menyebabkan seramai 300,000 orang menjadi pelarian, dengan 140,000 orang berada di pihak Kemboja manakala selebihnya daripada pihak Thailand.

Beliau turut menghargai peranan positif yang dimainkan oleh Phumtham dalam dialog membina hari ini sehingga membawa kepada persetujuan untuk menghentikan pertempuran berkuat kuasa tengah malam ini.

Dalam mesyuarat itu, Kemboja dan Thailand mencapai persefahaman bersama termasuk pelaksanaan gencatan senjata serta-merta dan tanpa syarat, berkuat kuasa mulai pukul 24:00 (waktu tempatan) pada 28 Julai.

Kedua-dua negara juga akan mengadakan mesyuarat tidak rasmi antara pegawai pemerintah serantau pada pukul 7 pagi 29 Julai , diikuti dengan mesyuarat bersama Atase Pertahanan yang diketuai oleh Pengerusi ASEAN, tertakluk kepada persetujuan bersama.

Kemboja dan Thailand turut bersetuju untuk mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Am Sempadan  (GBC) pada 4 Ogos yang akan dihoskan oleh Kemboja.

Hun Manet berkata GBC akan menjadi platform yang baik bagi memperluas perbincangan untuk memulihkan keadaan seperti sediakala.

Mengulangi penghargaan terhadap hasil mesyuarat itu, beliau menyatakan keyakinan bahawa: “… hasil yang kita capai hari ini akan membuka peluang besar kepada ratusan ribu orang di kedua-dua pihak untuk kembali kepada kehidupan normal, menghentikan pertempuran antara kedua-dua negara, dan mula membina semula kepercayaan serta kerjasama antara Kemboja dan Thailand.”

Sementara itu, Phumtham berkata hasil mesyuarat hari ini mencerminkan hasrat Thailand untuk mencapai penyelesaian secara aman demi mempertahankan kedaulatan negara dan melindungi nyawa rakyat.

“Kami bersetuju untuk melaksanakan gencatan senjata dengan penuh keikhlasan daripada kedua-dua pihak,” katanya.

Selepas mesyuarat yang berlangsung lebih dua jam, pemimpin Thailand dan Kemboja beredar dari Kompleks Seri Perdana masing-masing pada pukul 6:03 petang dan 6:10 petang.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan