BEIJING, 28 Julai (Bernama-CMG) -- China akan mempertahankan pendirian yang adil dan saksama, mengekalkan komunikasi rapat dengan Kemboja dan Thailand, mendorong rundingan damai secara aktif, serta memainkan peranan konstruktif demi mewujudkan gencatan senjata antara Kemboja dengan Thailand.
Jurucakap Kementerian Luar China berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai konflik bersenjta di kawasan sempadan Kemboja dan Thailand.
Menurut jurucakap itu, Kemboja dan Thailand bukan sahaja berjiran, tetapi juga merupakan negara sahabat kepada China.
Mengekalkan sikap kejiranan baik dan saling percaya serta menangani perselisihan secara rasional bukan sahaja sesuai dengan kepentingan asas kedua-dua negara untuk jangka masa panjang, bahkan penting untuk keamanan dan kestabilan serantau, katanya.
Beliau turut berharap Kemboja dan Thailand mengambil kira kepentingan bersama rakyat kedua-dua negara, menghargai keamanan dan hubungan kejiranan baik, menangani perselisihan secara damai melalui dialog dan perundingan, agar keamanan dan kestabilan di kawasan sempadan dapat dipulihkan secepat mungkin.
Jurucakap itu menambah bahawa Kemboja dan Thailand merupakan anggota penting dalam ASEAN.
Blok serantau itu mengambil langkah proaktif dalam mempromosikan gencatan senjata antara kedua-dua negara.
China memuji kesungguhan ASEAN dan mengalu-alukan semua usaha yang kondusif bagi meredakan ketegangan situasi serantau, kata beliau.
-- BERNAMA-CMG
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial