ISTANBUL, 24 Julai (Bernama-Anadolu) -- Lebih 60 ahli Parlimen Eropah (MEP) menuntut agar satu mesyuarat tergempar diadakan bagi mendesak tindakan terhadap Israel dalam sepucuk surat yang dihantar kepada Ketua Dasar Luar EU Kaja Kallas pada Khamis, lapor Agensi Anadolu (AA).
Marc Botenga, Ahli Parlimen Eropah (MEP) dari Belgium mewakili kumpulan kiri menyatakan di platform X yang mereka menulis kepada Kallas, menuntut agar mesyuarat tergempar Majlis Hal Ehwal Luar EU diadakan serta-merta untuk mencadangkan tindakan terhadap Israel.
"Kami menulis kepada anda hari ini untuk mendesak tindakan segera diambil memandangkan situasi kemanusiaan yang amat dahsyat di Gaza dan serangan Israel yang berterusan terhadap rakyat Palestin di tapak pengagihan bantuan, yang mengorbankan lebih 1,000 orang setakat ini," kata semua MEP itu.
Mereka berkata perjanjian bantuan EU-Israel baru-baru ini tidak membawa "sebarang perubahan ketara" terhadap keadaan di lapangan, sambil menegaskan ketika kanak-kanak mati akibat kebuluran, EU hanya memberi "kata-kata lemah tanpa tindakan."
"Jelasnya, sejarah tidak akan memandang baik terhadap sikap berdiam diri dan keterlibatan EU dalam menghadapi kebuluran dan genosid di Gaza dan rakyat Eropah kini menggunakan suara mereka untuk menuntut tindakan yang sebenar.
"Sebagai wakil rakyat yang dipilih, kami tegaskan tidak boleh lagi ada sikap pilih kasih, tidak boleh lagi ada sikap berdiam diri dan tidak boleh lagi ada keterlibatan," kata semua ahli parlimen itu.
Kesemua 60 MEP menuntut pelaksanaan sekatan penuh terhadap Israel, sekatan terhadap Yayasan Kemanusiaan Gaza serta individu dalam organisasi itu, cadangan langkah selepas semakan Perjanjian Persatuan EU-Israel dan usaha melobi negara anggota untuk melaksanakan embargo senjata dua hala.
"Setiap hari tanpa tindakan adalah satu hari lagi rakyat Palestin di Gaza dibiarkan kebuluran atau terbunuh. Tindakan mesti diambil sekarang," tegas mereka.
-- BERNAMA-ANADOLU
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial