Oleh Vijian Paramasivam
PHNOM PENH, 23 Julai (Bernama) -- Smile Cambodia, yang diterajui doktor Malaysia, sedang mengubah kehidupan kanak-kanak yang menderita kecacatan muka dan membawa harapan baharu kepada komuniti terpencil yang kekurangan rawatan profesional.
Pertubuhan amal bebas yang sebahagian besarnya bergantung kepada doktor sukarelawan, baik asing mahupun tempatan, berjaya menjalankan pembedahan rumit ke atas kanak-kanak yang mengalami anomali bibir rekah dan lelangit rekah hujung minggu lalu.
Misi terbaharu itu diadakan di Pusat Smile di Hospital Persahabatan Khmer-Soviet di Phnom Penh, apabila tiga pakar Malaysia menyertai pembedahan rekonstruktif, bersama pakar Kemboja.
Enam puluh pesakit telah disaring di pusat tersebut dari 17 hingga 19 Julai.
“Misi pembedahan terbaharu ini adalah yang keempat kami tahun ini. Kami menyasarkan untuk merawat 30 pesakit sepanjang misi pembedahan dua hari itu. Kami merawat 44 pesakit, termasuk banyak kes sukar.
“Ramai ibu bapa pesakit sumbing menyatakan kegembiraan dan kesyukuran mereka ketika meninggalkan hospital. Misi pembedahan kami berjaya,” kata Naib Pengerusi dan Pengarah Eksekutif Smile Cambodia, Chan Kok Choy kepada Bernama.
Pertubuhan itu, yang diterajui oleh Chan, bekas pegawai bank Malaysia yang kini bergelar pekerja sosial berpangkalan di Kemboja, membawa kegembiraan kepada kanak-kanak yang menderita kecacatan muka, melegakan penderitaan ibu bapa mereka dan memperkenalkan pembedahan perubatan canggih kepada komuniti luar bandar.
“Kami berterima kasih kepada sukarelawan perubatan Malaysia dan Kemboja atas profesionalisme, komitmen, kerja keras, dan dedikasi mereka untuk merawat setiap pesakit dengan teliti.
“Selain menyediakan pembedahan untuk pesakit sumbing bibir dan lelangit serta kecacatan muka lain, kami bercadang untuk menawarkan rawatan pergigian, terapi pertuturan, dan merawat pesakit terbakar dalam misi akan datang, membantu mereka menjalani kehidupan normal dan lebih baik,” kata Chan.
Misi terbaharu itu membawa kegembiraan tambahan kepada ibu bapa dan kanak-kanak terlibat.
Miss Universe Cambodia 2024 Davin Prasath, bersama-sama peserta Miss Universe Cambodia 2025, melawat pusat itu untuk melihat sendiri bagaimana pembedahan dilakukan.
“Anda tidak memerlukan wang, anda memerlukan kasih sayang dan semangat untuk membantu orang ramai. Sangat bermakna apabila anda membantu individu. Kita mesti bantu mengembangkan platform (Smile Cambodia) seperti ini,” kata Davin, yang juga Duta Jenama Smile Cambodia.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial