NEW YORK, 23 Julai (Bernama-CMG) -- Amalan perlindungan dan tindakan sepihak seperti pelaksanaan tarif tambahan semakin menghakis pencapaian Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), kata Wakil Tetap China ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Fu Cong.
Beliau menggesa agar semua bentuk tindakan paksaan sepihak yang menghalang negara membangun daripada mencapai pembangunan sosioekonomi menyeluruh segera dibatalkan.
Gesaan itu dibuat Fu ketika membacakan kenyataan bersama mewakili 83 negara anggota Kumpulan Rakan Inisiatif Pembangunan Global (GDI) semasa debat umum mesyuarat peringkat menteri Forum Politik Peringkat Tinggi SDG (HLPF) 2025 yang berlangsung pada Isnin.
Fu berkata pelaksanaan Agenda Pembangunan Mampan 2030 kini terbantut dan menghadapi kekurangan modal yang semakin serius.
Dalam masa yang sama, amalan unilateralisme dan fahaman perlindungan turut mengancam kerjasama multilateral.
Duta China itu menyeru masyarakat antarabangsa berdiri teguh memelihara multilateralisme, memperkukuh solidariti dan kerjasama, memperbaiki sistem tadbir urus ekonomi global serta menghidupkan semula momentum pelaksanaan Agenda Pembangunan Mampan 2030.
Beliau berkata, pembangunan perlu sentiasa diletakkan sebagai teras agenda PBB, manakala pembangunan bersama dan manfaat bersama harus menjadi keutamaan semua negara dalam berdepan pelbagai cabaran.
-- BERNAMA-CMG
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial