DUNIA > BERITA

Latihan Simulasi Bencana Asean Bermula Di Tengah-tengah Taufan Wipha

21/07/2025 05:43 PM

Oleh Vijian Paramasivam

memasukkan slug

 

PHNOM PENH, 21 Julai (Bernama) -- Pegawai pengurusan bencana ASEAN pada Isnin memulakan latihan simulasi bagi menyemak semula prosedur operasi standard (SOP) serta meningkatkan kesiapsiagaan rantau itu dalam menghadapi krisis.

Latihan Simulasi Respons Kecemasan Bencana Serantau ASEAN (ARDEX-25) tahun ini berlangsung ketika Taufan Wipha membadai sebahagian kawasan di Asia Tenggara sejak Ahad.

Latihan itu dianjurkan bersama oleh Jawatankuasa Kebangsaan Pengurusan Bencana (NCDM) Kemboja dan Pusat Penyelarasan Bantuan Kemanusiaan ASEAN bagi Pengurusan Bencana (AHA Centre).

ARDEX ialah latihan berskala penuh yang diadakan secara dwitahunan untuk menguji kesiapsiagaan bencana dan mekanisme respons kecemasan ASEAN.

Aktiviti itu melibatkan proses persediaan, operasi mencari dan menyelamat, penilaian impak dan strategi respons segera di peringkat kebangsaan yang diselaraskan dengan ASEAN, bagi menyelamatkan nyawa mangsa bencana.

Taufan Wipha mendarat di Filipina dan utara Vietnam pada hujung minggu lalu, menyebabkan panik dan kemusnahan rumah penduduk.

Di luar rantau ini, China, Taiwan, Macau dan Hong Kong turut terjejas akibat Taufan Wipha yang membawa hujan lebat dan gangguan jadual penerbangan.

ARDEX-25 berlangsung dari 21 hingga 24 Julai di Ibu Pejabat Pemerintahan Pasukan Khas Tentera Diraja Kemboja di wilayah Kandal.

Menurut NCDM, latihan itu dibahagikan kepada dua komponen — strategik dan taktikal.

Di peringkat strategik, tumpuan diberikan kepada latihan, penilaian dan semakan semula garis panduan serta mekanisme bagi perkongsian dan pertukaran maklumat. Di peringkat taktikal, ARDEX-25 memberi fokus kepada operasi menyelamat dan bantuan bencana.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan