DUNIA > BERITA

Proses Pengundian Pilihan Raya Dewan Kaunselor Jepun Bermula

20/07/2025 05:18 PM

TOKYO, 20 Julai (Bernama-Kyodo) -- Proses pengundian bagi pilihan raya Dewan Kaunselor Jepun bermula pada Ahad, dengan tumpuan terarah kepada sama ada gabungan pemerintah mampu mengekalkan majoritinya di sebalik kekecewaan orang ramai terhadap kenaikan harga barangan dan sokongan yang semakin meningkat kepada parti-parti baharu, lapor Agensi Berita Kyodo.

Keputusan pilihan raya itu dijangka memberi kesan besar terhadap masa depan kerajaan minoriti Perdana Menteri Shigeru Ishiba, kerana kegagalan mengekalkan kawalan ke atas dewan itu akan menyukarkan lagi perbahasan Parlimen dan berpotensi menyebabkan beliau kehilangan jawatan perdana menteri.

Daripada 125 kerusi yang dipertandingkan, blok pemerintah yang diketuai Parti Demokratik Liberal (LDP) pimpinan Ishiba perlu memenangi sekurang-kurangnya 50 kerusi untuk mengekalkan majoriti dalam Dewan Kaunselor yang mempunyai 248 ahli. Gabungan itu kini memegang 75 kerusi pada separuh lagi dewan yang tidak dipertandingkan pada Ahad.

Ahli Dewan Kaunselor berkhidmat selama enam tahun dan tidak boleh dibubar, berbeza dengan Dewan Perwakilan yang boleh dibubarkan oleh perdana menteri. Separuh daripada ahli Dewan Kaunselor akan digantikan melalui pilihan raya yang diadakan setiap tiga tahun bagi mengelakkan pertukaran keseluruhan ahli secara serentak.

Daripada 125 kerusi itu, sebanyak 75 akan dipilih melalui daerah pilihan raya dan 50 lagi menerusi perwakilan berkadar. Kira-kira 520 calon bertanding merebut kerusi berkenaan.

Pengundi akan membuang dua undi — satu untuk memilih calon bagi daerah pilihan raya masing-masing manakala satu lagi untuk perwakilan berkadar, dengan kerusi diagihkan berdasarkan jumlah undi yang diterima oleh setiap parti dan calon  yang disenaraikan.

Sepanjang tempoh kempen, perdebatan tertumpu kepada kemungkinan pemotongan cukai penggunaan dan dasar berkaitan warga asing.

Ishiba menghabiskan 17 hari berkempen untuk meraih keyakinan terhadap pentadbirannya, ketika Jepun berdepan pelbagai cabaran termasuk kos sara hidup yang meningkat dan usaha mempertahankan kepentingan negara dalam rundingan tarif dengan Amerika Syarikat.

Parti Demokratik Perlembagaan Jepun, parti pembangkang utama, berhasrat untuk menafikan majoriti gabungan pemerintah di Dewan Kaunselor dan menggerakkan momentum ke arah perubahan kerajaan.

Parti pembangkang lain seperti Parti Demokratik untuk Rakyat dan Parti Inovasi Jepun sepakat dalam gesaan mereka untuk mengurangkan atau memansuhkan cukai penggunaan bagi membantu isi rumah yang terjejas akibat inflasi.

Parti populis Sanseito dilihat berpotensi menjadi pengubah keadaan dalam pilihan raya kali ini, apabila tinjauan media menunjukkan peningkatan populariti dalam kalangan pengundi muda hasil kempen aktif mereka di media sosial.

Slogan "Japanese First" parti itu menarik sokongan golongan konservatif, walaupun pendirian tegas mereka terhadap warga asing menerima kritikan kerana dianggap bersifat xenofobia.

-- BERNAMA-KYODO

 

pengundian, Dewan Kaunselor, pilihan raya, kerajaan minoriti, inflasi

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan