DUNIA > BERITA

Tentera Thai Rayu Individu Yang Dikaitkan Dengan Pemisah Pilih Dialog Berbanding Keganasan

08/07/2025 10:23 PM

Daripada Noraizura Ahmad

HATYAI, 8 Julai (Bernama) -- Tentera Thailand merayu individu yang dikaitkan dengan gerakan pemisah negara itu supaya memilih untuk berdialog secara aman dengan kerajaan berbanding melakukan keganasan.

Komander Tentera Wilayah Keempat Thailand, Leftenan Jeneral Paisan Nusang, berkata kerajaan Thailand kekal komited menyelesaikan konflik berpanjangan di wilayah selatan negara itu melalui pendekatan tanpa keganasan, selain menghargai sokongan dan kerjasama Malaysia dalam mengekalkan keselamatan serantau.

“Tolong sampaikan kepada mereka (individu yang terlibat dengan gerakan pemisah Thailand)... jangan merancang untuk mendapatkan senjata atau peluru. Tolong pulang ke rumah untuk berbincang,” katanya kepada Bernama dalam wawancara eksklusif di Kem Senanarong, Khohong, Hatyai, Songkhla, baru-baru ini.

Beliau menggesa mereka yang berasa terpinggir atau tidak mendapat layanan adil supaya menyuarakan ketidakpuasan hati melalui saluran yang betul dan aman, bukannya terjebak dalam kitaran konflik berasaskan isu lampau.

“Ada perkara yang berlaku bertahun-tahun lalu... ia sudah berlalu. Sudah selesai. Jadi apabila anda rasa tidak gembira atau tidak selesa, tolong beritahu kami. Kita perlu berbincang. Kita perlu bercakap tentang apa yang anda perlukan,” rayu Paisan.

Paisan menegaskan situasi semasa di selatan Thailand tidak harus dilihat berpunca daripada isu agama, sebaliknya didorong oleh ideologi radikal yang cuba memesongkan naratif sejarah dan dan menyemai perpecahan dalam masyarakat.

“Ia tidak kira, sama ada agama atau apa sekalipun. Mereka adalah rakyat kita. Mereka bukan musuh kita,” katanya sambil menambah bahawa terdapat kumpulan tertentu yang mengeksploitasi sekolah agama, ruang komuniti dan rangkaian dalam talian untuk meradikalkan golongan muda.

“Mereka ada agenda tersembunyi... untuk mengajar mereka memusnahkan sejarah negara,” katanya.

Bagi menangani isu itu, beliau berkata kerajaan Thailand melaksanakan pendekatan tiga serampang melibatkan penguatkuasaan undang-undang, pembangunan wilayah dan pembaharuan pendidikan dengan sokongan agensi seperti Perintah Operasi Keselamatan Dalam Negeri (ISOC), Pusat Pentadbiran Wilayah Sempadan Selatan (SBPAC) dan Kementerian Pendidikan.

Paisan turut menyatakan penghargaan terhadap peranan Malaysia sebagai pemudah cara damai serta kerjasama erat yang terjalin dengan Thailand khususnya dalam pertahanan dan keselamatan sempadan.

“Kita mempunyai kerjasama baik dengan Malaysia dalam pelbagai aspek, terutama antara pasukan tentera kita... kedua-dua pihak bekerjasama dengan sangat rapat,” katanya.

Beliau meminta pihak berkuasa Malaysia terus membantu Thailand dengan menangani isu pergerakan individu yang dikaitkan dengan gerakan pemisah yang memasuki sempadan secara haram dan membawa mereka ke muka pengadilan.

“Kita memerlukan sokongan Malaysia untuk membawa mereka ke muka pengadilan kerana mereka mesti mematuhi proses undang-undang,” katanya.

Berdasarkan pengalaman Thailand menyelesaikan isu pemberontakan dalaman termasuk pelucutan senjata Parti Komunis sejak empat dekad lalu, Paisan berkata dialog dan persefahaman bersama kekal sebagai jalan terbaik ke hadapan.

Paisan berkata media juga memainkan peranan penting dalam membantu rakyat di kedua-dua belah sempadan memahami usaha kerajaan mengekalkan keamanan dan perpaduan di wilayah selatan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan