DUNIA > BERITA

Tarikan Mempesona Bangladesh Meskipun Tanpa Monumen Mega

07/07/2025 01:06 PM

 

Oleh Shakir Husain

DHAKA, 7 Julai (Bernama) -- Bangladesh mungkin tidak memiliki tarikan pelancongan yang menakjubkan seperti Piramid, namun apa yang dimilikinya sangat mempesona untuk diterokai.

Bandar raya mega Dhaka menempatkan bangunan ikonik, muzium, tarikan kebudayaan dan taman yang indah.

Ahsan Manzil yang tersergam indah, bekas kediaman Nawab Dhaka yang menghadap Sungai Buriganga merupakan tempat yang wajib dikunjungi untuk menyelami sejarah Bangladesh yang berusia ratusan tahun.

Nawab Abdul Ghani (1813-1896) menamakan istana itu sempena nama anaknya, Khawaja Ahsanullah (1846-1901).

Bangunan itu siap dibina pada 1872 selepas 13 tahun pembinaan.

Ahsan Manzil, yang juga dikenali sebagai Istana Merah Jambu kerana warnanya yang tersendiri, bukanlah dalam bentuk asal seperti hari ini. Ia bermula sebagai kediaman yang dibina pada abad ke-18 oleh Sheikh Inayatullah, seorang pemilik tanah (zamindar).

Harta tanah itu dijual oleh anak Inayatullah, Sheikh Matiullah kepada pedagang Perancis sebelum dibeli oleh Nawab Khwaja Alimullah, bapa kepada Abdul Ghani pada 1830.

Istana yang dibina oleh Abdul Ghani itu kemudian telah dibina semula dengan lebih megah selepas mengalami kerosakan besar akibat puting beliung pada 1888.

Menyedari nilai sejarahnya, kerajaan Bangladesh telah menjadikan bangunan tersergam itu sebagai muzium pada 1992. Koleksi pamerannya yang mengagumkan pasti menarik minat anda terhadap sejarah Asia Selatan dan Bengali.

Ribuan barangan yang dipamerkan menggambarkan kehidupan, pemerintahan dan interaksi Nawab Bengal dengan rakyat serta wilayah sekitarnya.

Bangunan itu juga menjadi saksi kepada pelbagai peristiwa bersejarah dan menjadi lokasi pertemuan penting yang meninggalkan kesan mendalam di Asia Selatan.

Anak Ahsanullah, Khwaja Salimullah pemimpin Muslim terkemuka Bengal semasa zaman British telah mengasaskan Liga Muslim Seluruh India di Dhaka pada 1906.

Koleksi gambar dan potret, termasuk tokoh-tokoh terkemuka dalam perjuangan menentang penjajah, amat menarik untuk dilihat.

Satu tengkorak gajah pasti akan menarik perhatian anda. Ia milik seekor gajah bernama "Feroz Jung", haiwan kesayangan Nawab Abdul Ghani.

 

Kubu Lalbagh

Lebih banyak sejarah boleh diterokai di Kubu Lalbagh, sebuah kompleks istana era Mughal yang dibina pada abad ke-17.

Ia antara tapak warisan yang mesti dilawati, pembinaannya dimulakan oleh Putera Azam, anak lelaki ketiga Maharaja Aurangzeb pada 1678. Namun, pembinaannya dihentikan oleh subedar (gabenor wilayah) Mughal, Nawab Shaista Khan pada 1684 selepas kematian anak perempuannya, Pari Bibi.

Apa yang berjaya disiapkan dan masih kekal hingga kini tetap mempesonakan walaupun kelihatan tidak lengkap seperti projek mega yang dirancang.

Makam Pari Bibi terletak di tengah kompleks dengan sebuah dewan untuk acara rasmi dua tingkat (Diwan) dan hammam (rumah mandian) terletak di sebelah kiri pintu masuk manakala masjid berkubah tiga di sebelah kanan.

Walaupun kubu itu mungkin tidak setanding monumen Mughal lain di Asia Selatan, ia tetap menampilkan pemandangan indah dengan keanggunan seni bina dan kejuruteraan era berkenaan.

Keindahan kompleks itu dipelihara dengan baik oleh kepakaran hortikultur Bangladesh.

Anda juga boleh meneroka sejarah Bengal di Universiti Dhaka di mana satu daripada bangunan itu dinamakan sempena nama Lord Curzon,  Wizurai India antara 1899 hingga 1905 yang merasmikan Dewan Curzon pada 1904. Curzon dikenali kerana pembahagian Bengal pada 1905, langkah kontroversi yang dibatalkan beberapa tahun kemudian selepas penentangan nasionalis India.

Tidak jauh dari situ terletak Makam Tiga Pemimpin yang menempatkan makam tiga tokoh penting dalam sejarah Asia Selatan iaitu A.K. Fazlul Huq (1873-1962), Huseyn Shaheed Suhrawardy (1892-1963) dan Khwaja Nazimuddin (1894-1964).

 

Bangunan Parlimen moden

Bangunan Parlimen negara itu turut menjadi antara lokasi yang wajar dikunjungi. Direka oleh arkitek Louis Kahn, pembinaannya bermula pada 1961 ketika Bangladesh masih dikenali sebagai Pakistan Timur dan siap pada 1982. Bangunan Parlimen berkenaan menjadi mercu tanda ikonik di ibu negara itu.

Dhaka kini merupakan sebuah metropolis yang sibuk dan pesat berkembang, memelihara warisannya sambil membina masa depan berteraskan perdagangan global dan arus geopolitik.

Lokasi Bangladesh yang berdekatan dengan Asia Tenggara menimbulkan hasrat semula jadi negara itu untuk memperkukuh hubungan perdagangan, pelancongan, budaya dan perniagaan dengan ASEAN.

Bangladesh mempunyai sektor makanan yang kukuh dengan masakannya dipengaruhi oleh warisan budaya dan kekayaan hasil pertanian wilayahnya. Nasi, daging lembu, makanan laut, sayur-sayuran dan produk tenusu digunakan secara meluas.

 

Terminal sungai Sadarghat

Anda boleh melihat pelbagai jenis bot, tongkang dan feri berlabuh dan berlepas dari pelabuhan sibuk Sadarghat di Sungai Buriganga. Kapal-kapal itu menghubungkan pelbagai lokasi di Bangladesh dan membuatkan anda tertanya-tanya betapa pentingnya pengangkutan air di "Land of Rivers" ini.

Sungai Buriganga kini dalam keadaan tercemar, namun tidak dapat dibayangkan Dhaka tanpa laluan air yang penting ini. Sungai itu dipercayai antara sebab Mughal memilih Dhaka sebagai ibu kota wilayah mereka.

Anda boleh berjalan-jalan di kawasan dermaga untuk melihat kapal dengan lebih dekat. Untuk pemandangan panorama sungai yang menakjubkan, anda boleh menjamu selera di Restoran Buriganga Riverview. 

 

"Tinggalan bandar" di Sonargaon

Kira-kira 35 kilometer dari Dhaka, kunjungan ke Sonargaon pasti amat berbaloi. Di sini terletaknya Panam Nagar, “tinggalan sebuah bandar” yang terpelihara dalam suasana desa. Penempatan Panam Nagar menampilkan tinggalan 52 rumah yang dibina dengan cantik yang menggabungkan seni bina Eropah dan Mughal di kedua-dua sisi jalan sepanjang 600 meter.

Penempatan itu diasaskan oleh pedagang Hindu yang kaya sekitar 130 tahun lalu. Penduduknya berhijrah ke India selepas pergolakan politik pada abad ke-20.

Sonargaon sendiri kaya dengan sejarah. Sebuah plak di Panam Nagar memaklumkan bahawa seorang raja Hindu bernama Danujmadhob telah menjadikan kawasan itu sebagai ibu kotanya pada abad ke-13 dan ia merupakan antara pusat pentadbiran Kesultanan Bengal. Selepas 1610, kawasan berkenaan berada di bawah pemerintahan empayar Mughal.

 

Terinspirasi oleh Taj Mahal

Taj Mahal di Agra yang dibina pada abad ke-17 oleh Maharaja Mughal Shah Jahan, terkenal di seluruh dunia sebagai monumen cinta. Terdapat beberapa replika berskala kecil dibina di beberapa tempat.

Di Bangladesh, seorang pembuat filem dan ahli perniagaan, Ahsanullah Moni begitu mengagumi maharaja Mughal itu sehingga 17 tahun lalu beliau membina replika Taj Mahal yang dikenali sebagai "Banglar Taj Mahal" berhampiran Sonargaon. Kampung itu terletak kira-kira 30 kilometer timur laut Dhaka.

Replika itu didirikan di kawasan landskap yang indah. Tidak jauh dari replika Taj Mahal itu pula terdapat “Piramid Rajmoni” yang diilhamkan oleh piramid Mesir. Namun, ada pihak kurang senang dengan replika-replika berkenaan kerana ia tidak mencerminkan keagungan sebenar monumen keajaiban dunia.

Tarikan itu dibangunkan dalam gaya taman tema dengan suasana desa, dihiasi bunga tropika dan pokok buah-buahan yang mendamaikan pandangan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan