DUNIA > BERITA

Kumpulan Nasyid Malaysia Cipta Impak Di Festival Algeria

06/07/2025 06:44 PM

Oleh Shakir Husain

NEW DELHI, 6 Julai (Bernama) -- Kumpulan nasyid Malaysia, Inteam memukau para penonton pada Festival Alunan Nasyid Antarabangsa Constantine ke-11 di Algeria menerusi persembahan sulung mereka di Afrika Utara yang berjaya merentasi batas budaya dan bahasa.

Dengan mengenakan busana tradisional Melayu, kumpulan itu menyampaikan persembahan penuh penghayatan dan menyerlah dalam kalangan sembilan kumpulan luar negara yang dijemput — termasuk dari Oman, Tunisia, Belgium, Jordan, Senegal, Syria, Tanzania dan Bosnia — ke festival berprestij yang diadakan di bandar bersejarah Constantine dari 25 hingga 30 Jun.

"Busana tradisional Melayu mereka mencetuskan minat dan kekaguman dalam kalangan penonton antarabangsa. Pendekatan diplomasi budaya ini menambah sentuhan istimewa kepada persembahan seni mereka," kata Duta Besar Malaysia ke Algeria, Rizany Irwan Muhamad Mazlan kepada Bernama pada Ahad.

Inteam merupakan satu daripada sembilan kumpulan antarabangsa yang dijemput membuat persembahan pada edisi ke-11 Festival Alunan Nasyid Antarabangsa Constantine (Mahrajan Al Inshad Al Duwali) di bandar Constantine, timur laut Algeria. 

Acara itu turut disertai tujuh kumpulan dari Algeria serta peserta dari Oman.

Inteam menggambarkan jelajah pertama mereka ke Afrika Utara sebagai sebuah perjalanan yang melangkaui sempadan bahasa, negara dan budaya menerusi nasyid. 

Penyertaan Inteam dalam festival berprestij itu memperkukuh kehadiran Malaysia di peringkat antarabangsa serta membuka peluang kepada kerjasama lebih luas dalam platform seni antarabangsa pada masa hadapan.

“Kehadiran mereka menjadi bukti peranan seni persembahan Islam dalam menyemai perpaduan dan saling menghormati antara budaya,” kata Rizany.

Sepanjang festival itu, turut diadakan bengkel latihan belia dan seminar yang menumpukan kepada usaha memelihara warisan muzik dan memupuk dialog antara budaya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan