DUNIA > BERITA

Perkongsian Keselamatan Kesihatan ASEAN-UK Perkukuh Kesiapsiagaan Serantau

05/07/2025 01:29 AM

PETALING JAYA, 4 Julai (Bernama) – Program Perkongsian Keselamatan Kesihatan ASEAN-UK (HSP) dilancarkan secara rasmi hari ini, menandakan inisiatif lima tahun untuk memperkukuh keupayaan Asia Tenggara dalam mencegah, mengesan dan bertindak balas terhadap ancaman kesihatan.

Duta United Kingdom (UK) ke ASEAN Sarah Tiffin berkata program ini mencerminkan komitmen bersama untuk membina daya tahan kesihatan jangka panjang di rantau ini.

Beliau berkata perkongsian itu akan memanfaatkan kepakaran UK dalam keselamatan kesihatan sambil menggalakkan kerjasama serantau dalam kalangan negara anggota ASEAN.

“Ini adalah sesuatu yang sangat menggembirakan kerana kami dapat membawa kepakaran UK, dan kami berbangga dengan kepakaran kami dalam keselamatan kesihatan. Kami juga sedar bahawa kami mempunyai banyak perkara untuk dipelajari daripada ASEAN,” katanya pada sidang media selepas pelancaran.

Tiffin berkata pandemik COVID-19 menunjukkan bahawa tiada negara yang kebal terhadap ancaman kesihatan global, dan UK berbangga dapat bekerjasama rapat dengan ASEAN melalui Program HSP untuk membina daya tahan jangka panjang dan memastikan masa depan yang lebih sihat dan selamat untuk masyarakat di rantau ini serta di peringkat global.

Beliau menekankan bahawa dunia kini berdepan pelbagai ancaman kesihatan, dan pendekatan serta keupayaan ASEAN dalam menangani cabaran ini diiktiraf sebagai contoh terkemuka di peringkat global.

“Kami sangat gembira dapat bekerjasama dengan ASEAN dalam perkara ini dan menggalakkan pendekatan serantau dengan pakar keselamatan kesihatan dari seluruh rantau dapat berkumpul dan berkongsi pengetahuan serta kepakaran mereka,” katanya.

Dalam satu kenyataan media, Setiausaha Agung ASEAN Dr Kao Kim Hourn mengalu-alukan pelancaran itu, menyifatkannya sebagai inisiatif tepat pada masanya yang mengukuhkan usaha berterusan ASEAN dalam memperkukuh sistem kesihatan serantau.

“Program HSP ASEAN-UK adalah inisiatif yang tepat pada masanya dan melengkapi usaha kolektif ASEAN dalam memperkukuh kesiapsiagaan pandemik dan membina sistem kesihatan yang berdaya tahan. Kami menghargai komitmen UK terhadap kerjasama yang bermakna dan berkekalan dengan ASEAN,” katanya.

Program HSP memberi tumpuan kepada peningkatan kesiapsiagaan pandemik, menangani penyakit baharu dan meningkatkan daya tahan sistem kesihatan di seluruh Asia Tenggara.

Ia merupakan antara hasil utama di bawah Pelan Tindakan ASEAN-UK (2022-2026), yang mengukuhkan komitmen UK sebagai Rakan Dialog ASEAN.

Inisiatif yang dibiayai UK ini akan menawarkan geran pembiayaan untuk projek-projek yang meningkatkan sistem kesihatan dan akses kepada penjagaan kesihatan di seluruh rantau ini, serta bertujuan memperkukuh keupayaan untuk bertindak balas terhadap ancaman baharu termasuk yang berpunca daripada perubahan iklim.

Program ini juga akan memudahkan kerjasama pakar antara ASEAN dan institusi global, khususnya di UK, untuk bersama-sama membangunkan penyelesaian kesihatan yang inovatif.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan