DUNIA > BERITA

Trump Dedah ‘Kumpulan Kaya’ Rancang Beli Tiktok

30/06/2025 11:13 AM

ISTANBUL, 30 Jun (Bernama-Anadolu) -- Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump mendedahkan bahawa sekumpulan individu kaya merancang untuk membeli aplikasi TikTok, namun urus niaga itu memerlukan kelulusan kerajaan China, lapor Anadolu Ajansi (AA).

“Kita sudah ada pembeli untuk TikTok, sebenarnya. 

“Saya rasa saya mungkin perlukan kelulusan daripada China. 

“Saya fikir Presiden China, Xi Jinping mungkin akan meluluskannya,” kata Trump dalam satu wawancara bersama Fox News yang disiarkan pada Ahad.

Trump menyifatkan pembeli berpotensi itu sebagai “orang-orang yang sangat kaya” yang membentuk satu kumpulan, namun tidak menjelaskan sama ada syarikat teknologi utama turut terlibat.

Beliau memaklumkan akan mendedahkan butiran lanjut “dalam tempoh kira-kira dua minggu.”

Kongres AS sebelum ini meluluskan undang-undang dwipartisan pada 2024 yang mengarahkan ByteDance, syarikat induk TikTok berpangkalan di China untuk menghentikan operasi di AS atau berdepan larangan sepenuhnya atas kebimbangan keselamatan negara terhadap kemungkinan perkongsian data dengan Beijing.

-- BERNAMA-ANADOLU


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan