DUNIA > BERITA

Pemergian Pengerusi IKIM Kehilangan Besar Buat Ummah Di Malaysia, Singapura – Presiden MCAS

26/06/2025 04:39 PM

Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz

SINGAPURA, 26 Jun (Bernama) -- Pemergian Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Prof Datuk Dr Muhammad Nur Manuty pada Khamis disifatkan sebagai satu kehilangan besar bukan sahaja kepada umat Islam di Malaysia, malah juga di Singapura.

Presiden Persatuan Mualaf Singapura (MCAS) Muhammad Imran Kuna berkata, Allahyarham merupakan antara tokoh perintis yang membantu membangunkan sistem pendidikan persatuan itu dan terus menjadi penasihat penting hingga ke akhir hayatnya.

Menurut Muhammad Imran, ketika menziarahinya sewaktu beliau dalam keadaan kurang sihat, pesanan terakhir Muhammad Nur adalah agar umat Islam di Malaysia dan Singapura kekal bersatu dan meneruskan kerjasama erat antara kedua-dua negara.

“Allahyarham mahu kita menjadi jambatan yang merapatkan ummah dan mengukuhkan perpaduan. Insha-Allah, kami akan terus melaksanakan niat dan permintaannya,” katanya kepada Bernama.

Allahyarham juga memainkan peranan penting dalam menjalin kerjasama antara MCAS dengan pelbagai pertubuhan dan institusi Islam di Malaysia.

“Muhammad Nur percaya pada misi kami dan sering memberikan pandangan bernas. Kehadirannya amat memberi inspirasi dan akan sentiasa dikenang,” katanya.

Muhammad Imran turut memaklumkan bahawa Allahyarham sepatutnya menjadi antara tokoh utama bagi menyokong penganjuran Persidangan Silang Budaya Asia-Pasifik yang julung kali dirancang pada November ini di Singapura, serta terlibat dalam satu projek mega berkaitan al-Quran yang juga bakal dilancarkan di negara itu.

Muhammad Nur yang dikenali sebagai tokoh dakwah dan ilmuwan, pernah berkhidmat sebagai perunding pendidikan Islam MCAS dari 2000 hingga 2009, memainkan peranan penting dalam memperhalusi kurikulum pendidikan Islam serta metodologi dakwah.

Menurut MCAS, sumbangan Allahyarham meliputi pembangunan kursus khas untuk mualaf baharu termasuk bidang Aqidah, Fiqh dan Sirah, di samping menyemak semula buku teks, menganjurkan seminar dan bengkel bagi memperkayakan pengalaman pembelajaran mereka.

Pada Januari lalu, MCAS — juga dikenali sebagai Darul Arqam — memberi penghormatan tertinggi kepada Muhammad Nur pada majlis Anugerah Kecemerlangan Akademik MCAS yang julung kali diadakan, sebagai mengiktiraf dedikasi, kepimpinan dan impak transformasi beliau terhadap persatuan.

Allahyarham meninggal dunia pada 11.27 pagi Khamis, di Hospital Sultan Idris Shah, Serdang pada usia 76 tahun.

-- BERNAMA


 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan