BANGKOK, 24 Jun (Bernama) -- Perdana Menteri Thailand Paetongtarn Shinawatra pada Selasa mengumumkan bahawa rombakan Kabinet telah dimuktamadkan, dengan kelayakan calon kini dalam proses pemeriksaan sebelum senarai itu dikemukakan untuk perkenan diraja.
“Perbincangan dengan semua ketua parti telah selesai. Sebaik sahaja proses saringan diselesaikan, senarai calon yang dilantik akan dikemukakan untuk perkenan diraja, walaupun tiada garis masa khusus ditetapkan,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Kabinet di Rumah Kerajaan.
Kenyataan beliau dibuat susulan penarikan diri Parti Bhumjaithai, parti kedua terbesar dalam kerajaan campuran, daripada kerajaan pimpinannya pada Rabu lepas.
Kesemua lapan menteri Bhumjaithai telah meletak jawatan sejak itu.
Apabila ditanya sama ada Ahli Parlimen daripada parti lain akan menyertai untuk memperkukuh kerajaan campuran, Paetongtarn menegaskan bahawa kerajaan campuran sedia ada kekal kukuh dan bersatu.
“Perbincangan dengan rakan kongsi dalam kerajaan berjalan lancar dan kerajaan menerima sokongan serta galakan yang besar daripada semua sekutu,” katanya.
Perdana Menteri turut mengesahkan bahawa beliau tidak akan memegang jawatan Menteri Pertahanan selain jawatan Perdana Menteri.
Beliau menekankan kepentingan melantik calon yang sesuai bagi menangani isu sempadan negara dengan berkesan.
“Saya pasti tidak akan memegang jawatan itu. Saya akan umumkan nama calon sebaik segala-galanya dimuktamadkan,” katanya.
Walaupun Parti Bhumjaithai menarik diri, kerajaan campuran pimpinan Pheu Thai masih mempunyai majoriti dalam Dewan Perwakilan yang mempunyai 500 kerusi, sekali gus memastikan kestabilan pemerintahan berterusan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial