DUNIA > BERITA

WHO Kritik Cukai Tembakau Rendah Dan Peraturan Longgar Di Jerman

24/06/2025 01:29 PM

GENEVA, 24 Jun (Bernama-dpa) -- Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengkritik Jerman kerana mengenakan cukai tembakau yang rendah dan pelaksanaan kawalan tembakau yang longgar berbanding negara lain terutamanya di Eropah, lapor agensi berita Jerman dpa.

Dalam laporan mengenai usaha global mengawal penggunaan tembakau dan nikotin yang dikeluarkan pada Isnin, WHO menyatakan bahawa Jerman masih ketinggalan dari segi pelaksanaan dasar kawalan tembakau yang berkesan.

“Jerman berusaha bersungguh-sungguh untuk menyelamatkan nyawa menerusi sistem penjagaan kesihatan yang sangat cekap dan mahal.

“Maka amat mengejutkan apabila begitu banyak nyawa masih terdedah kepada risiko akibat kawalan tembakau yang longgar,” kata Pengarah Promosi Kesihatan WHO, Rüdiger Krech kepada dpa.

Secara global, sekitar 1.3 bilion orang menggunakan produk tembakau dan dianggarkan 8 juta kematian direkodkan setiap tahun akibat penggunaannya.

WHO menganggap cukai tinggi sebagai alat paling berkesan untuk mengurangkan penggunaan tembakau dan mengesyorkan agar cukai menyumbang sekurang-kurangnya 75 peratus daripada harga runcit produk tembakau.

Di Jerman, kadar purata cukai hanya 61.4 peratus. Menurut WHO, sebanyak 40 negara di seluruh dunia telah mencapai atau melebihi ambang 75 peratus.

Laporan itu turut menyatakan bahawa Jerman mencatatkan prestasi lemah dalam beberapa aspek lain, termasuk penguatkuasaan larangan merokok di tempat awam, sokongan kepada perokok untuk berhenti serta sekatan terhadap iklan tembakau yang tidak mencukupi.

Dengan 1.3 juta orang di seluruh dunia maut setiap tahun akibat pendedahan kepada asap rokok secara pasif, WHO menggesa supaya lebih banyak kawasan bebas asap rokok diwujudkan secara menyeluruh.

-- BERNAMA-dpa

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan