DUNIA > BERITA

Krisis Iran-Israel: Tentera Indonesia Sedia Laksana Misi Pemindahan Rakyatnya

20/06/2025 06:31 PM

Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar

JAKARTA, 20 Jun (Bernama) -- Tentera Indonesia (TNI) pada Jumaat menyatakan kesiapsiagaan untuk melaksanakan operasi pemindahan ratusan warganegara dari kawasan bergolak di Iran dan wilayah yang diduduki Israel, dengan mengerah 34 anggota pasukan tindak balas krisis bagi menyokong operasi itu.

Menurut Pusat Penerangan TNI (Puspen TNI), pemindahan akan dilaksanakan sebaik sahaja keadaan di lapangan mengizinkan.

Bagi rakyat Indonesia di Iran, mereka akan dibawa ke Baku, Azerbaijan dalam perjalanan selama kira-kira 30 jam, sebelum ditempatkan dua malam di lokasi transit dan seterusnya dibawa pulang ke Indonesia.

Manakala pemindahan dari wilayah yang dikuasai Israel akan dilakukan melalui Amman, Jordan.

“Melindungi rakyat Indonesia di luar negara merupakan manifestasi nyata kehadiran negara ketika saat kecemasan.

“Kami bersedia melaksanakan tugas ini dengan penuh tanggungjawab,” kata Ketua Puspen TNI Mejar Jeneral Kristomei Sianturi dalam satu kenyataan.

Menurut Kementerian Luar Indonesia, seramai 386 rakyat Indonesia kini berada di Iran dan 192 lagi di wilayah yang diduduki Israel.

Daripada jumlah itu, 115 orang di Iran dan 11 orang di Israel mengemukakan permohonan untuk dipindahkan, kebanyakannya membabitkan pelajar yang menetap di kawasan berisiko tinggi.

Panglima TNI, Jeneral Agus Subiyanto turut mengarahkan semua unit tentera agar berkoordinasi dengan kementerian dan agensi berkaitan bagi memastikan kelancaran operasi, dengan pasukan sokongan bersiap sedia menanti perkembangan semasa di lokasi.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan